Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tampil mempersoalkan pendirian dan sikap bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan dalam isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Dia menegaskan tindakan pemindahan perlu dilakukan sekali pun kes seumpama itu melibatkan sebuah masjid.
“Saya nak maklumkan pada Ambiga dan kawan-kawan peguam mereka, dalam kes ini jika ada masjid yang dibina di atas tanah orang lain sekalipun ia perlu dipindahkan, sebab itu tanah bukan milik masjid.
“Tuan tanah punya baik lagi, 10 tahun berbincang untuk dapatkan penyelesaian, bukan beli (tanah) hari ini esok suruh keluar.
“Tambahan pula DBKL bagi lagi cadangan tanah lain untuk dipindahkan tapi kamu masih tak nak,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.
Akmal yang juga Adun Merlimau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi melibatkan penempatan kuil yang terletak berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur itu.
Terdahulu Ambiga dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) mengadakan sidang media berhubung rancangan perobohan kuil Hindu yang bersejarah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.
Peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman membayangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlibat lebih banyak dalam isu tapak kuil tersebut.
N Surendran, yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, berkata DBKL seolah-olah mencadangkan kerajaan tiada kaitan, memandangkan tanah tersebut milik persendirian.
Bagaimanapun katanya, pertikaian muncul kerana tindakan DBKL pada masa lalu. Katanya, pada 2008, DBKL mengarahkan kuil itu—yang dibina pada 1893—berpindah beberapa meter ke lokasi di mana ia kini berada.

Kemudian pada 2014, DBKL dikatakan menjual tanah tersebut tanpa pengetahuan jawatankuasa kuil. DBKL semalam dilaporkan memberi komitmen tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan ke atas kuil berkenaan.
Dalam satu kenyataan, DBKL sebaliknya berkata pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilaksanakan secara telus, adil dan membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Namun penyokong pemeliharaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sebaliknya mencadangkan "tapak alternatif" untuk pembinaan masjid, yang pada asalnya dirancang dibina di tapak kuil tersebut.
Pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek, berkata daripada meroboh dan memindahkan kuil 130 tahun itu, masjid boleh dibina di dua plot tanah yang berdekatan.
Akmal bagaimanapun mempersoalkan tindakan pihak kumpulan peguam berkenaan yang dilihat tidak bersetuju dengan pemindahan kuil tersebut.
“Tiba-tiba,kamu pula minta tuan tanah cari tanah lain, eh ini peguam jenis apa yang menggunakan logik undang-undang begini?
“Saya nak minta peguam-peguam ini keluar dari rumah kamu yang sedia ada, sebab saya nak duduk di rumah kamu. Boleh ke?” soalnya sinis.