ADS
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: SPRM siasat rakan kongsi ahli perniagaan, kakitangan
Diterbitkan:  Mar 21, 2025 4:07 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Surhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merekodkan kenyataan tiga individu tambahan berhubung siasatan mereka terhadap skandal rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah.

Antara yang memberi keterangan kepada agensi antirasuah itu ialah rakan kongsi perniagaan pembocor maklumat dan dua kakitangannya, masing-masing pengurus operasi dan pengurus akaun.

Ketiga-tiga mereka disoal siasat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dari jam 9.30 pagi hingga 3 petang.

"Semuanya berjalan lancar. Kami ditanya banyak soalan mengenai urus niaga wang dan ADUN yang terlibat," kata rakan kongsi perniagaan itu – yang enggan dikenali – kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pertemuan dengan SPRM berkenaan.

ADS

Pada 12 dan 13 Mac lalu, SPRM menyoal siasat pembocor maklumat berhubung dakwaan itu selama lebih 16 jam.

Selepas sesi kedua – yang berlangsung selama 11 jam – peguamnya pembocor maklumat terbabit, Mahajoth Singh, berkata anak guamnya memberikan "bukti yang mencukupi, melibatkan kenyataan hampir 50 muka surat".

"Adalah ditegaskan bahawa sebarang jenayah, terutamanya rasuah oleh penjawat awam, mesti disiasat dengan segera dan teliti. Kini semuanya terserah kepada SPRM," katanya.

ADS

Sejak Nov tahun lalu, ahli perniagaan terbabit – yang dikenali sebagai Albert – telah mendedahkan sembilan video dan sekumpulan mesej WhatsApp yang didakwanya sebagai bukti dia merasuah beberapa Adun sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.

Pada 10 Mac pula dia mengeluarkan video kesembilan yang membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Kadzim Yahya.

Sehari kemudian bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengadakan sidang media untuk mengumumkan bahawa video yang tidak diedit akan diserahkan kepada SPRM untuk disiasat.

Tindakan itu diambil apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mendakwa bahawa video yang diterbitkan oleh Malaysiakini telah disunting justeru itu tidak boleh diterima sebagai bahan bukti.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyifatkan video itu sebagai cubaan untuk melemahkan pentadbirannya dan menuduh ahli perniagaan terbabit bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepentingan.

Ahli perniagaan berkenaan juga didakwa sebahagian daripada kartel yang ingin memonopoli aktiviti perlombongan di Sabah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS