Badan Peguam Malaysia menggesa pembaharuan institusi dan struktur dilaksanakan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan pelantikan tokoh korporat Salim Fateh Din sebagai pengerusi baru Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah agensi tersebut.
Presidennya, Ezri Abdul Wahab, berkata pelantikan Salim mesti diterjemahkan kepada tindakan berkesan yang mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap usaha pencegahan rasuah di Malaysia.
Hal itu penting, katanya, memandangkan keperluan untuk reformasi dalam SPRM telah lama ditekankan terutamanya berdasarkan "kontroversi masa lalu" yang telah menguji ketahanan institusinya.
“Skandal seperti kes 1MDB dan kematian tragis Teoh Beng Hock telah menimbulkan kebimbangan serius mengenai ketelusan, akauntabiliti dan keupayaan SPRM untuk berfungsi tanpa campur tangan politik.
"Kedudukan Malaysia yang tidak berubah di tempat ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International Malaysia menegaskan lagi keperluan mendesak untuk pembaharuan menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk menangani isu yang berlarutan sebegitu, Badan Peguam Malaysia menggesa SPRM diasingkan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menjadi agensi di bawah pengawasan parlimen bagi memastikan ia bebas daripada pengaruh eksekutif.
Ezri berkata pembaharuan itu akan menginstitusikan kebebasan SPRM, memastikan siasatannya bebas daripada campur tangan politik sekali gus memperkukuh kepercayaan orang ramai terhadap keupayaan mereka memerangi rasuah secara adih.
Dia menambah jawatankuasa bersama dwipartisan mengenai rasuah – yang dipengerusikan oleh seorang ahli parlimen pembangkang – juga perlu bagi menyelia pelantikan jawatan kanan SPRM serta memastikan akauntabiliti yang lebih besar.
Selain mengesyorkan agar nama agensi itu dikembalikan sebagai Badan Pencegah Rasuah, Badan Peguam Malaysia juga mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (ACSC) sebagai badan bebas yang bertanggungjawab melantik dan menyelia ketua pesuruhjaya dan pegawai SPRM.
Minta utamakan pembaharuan
Katanya langkah itu akan memastikan pelantikan pemimpin SPRM adalah berasaskan merit dan bebas daripada pengaruh yang tidak wajar.
ACSC juga, tambah Ezri, wajar diberi kuasa untuk memecat ketua pesuruhjaya atas isu salah laku atau ketidakupayaan untuk melaksanakan tugas, dengan tempoh tetap lima tahun bagi mengelakkan pemecatan sewenang-wenangnya.
Mereka turut merayu agar kerajaan memberi keutamaan kepada pembaharuan kritikal tambahan untuk memerangi rasuah.
Ezri berkata langkah sedemikian termasuk membentangkan dan menggubal Rang Undang-undang Pembiayaan Politik sebelum pilihan raya umum akan datang untuk mengawal selia derma politik dan mencegah pengaruh tidak wajar terhadap proses demokrasi.
Badan Peguam juga menekankan keperluan mempercepatkan pelaksanaan format pengisytiharan aset yang baru bagi pegawai kanan kerajaan dan penggubal undang-undang bagi menggalakkan ketelusan dan mencegah pengumpulan kekayaan haram.
“Badan Peguam menggesa kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengutamakan pembaharuan ini dan mengambil langkah konkrit untuk mengukuhkan rangka kerja antirasuah negara.
"Kami tetap komited untuk menyokong struktur undang-undang dan institusi yang menjunjung kedaulatan undang-undang dan menggalakkan ketelusan dan keyakinan orang ramai terhadap usaha Malaysia memerangi rasuah," katanya.
Pada 19 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengumumkan pelantikan Salim bagi sesi 2025-2028 bermula 2 Feb lalu.
Peranan utama lembaga pengarah terbabit ialah untuk menasihat SPRM mengenai strategi, dasar dan apa-apa perkara yang berkaitan dengan masalah rasuah di negara ini.
Salim juga merupakan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan pelantikan semula beliau untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Mac.
Dia dilantik ke tugasan MCMC buat kali pertama pada 2010 hingga 2014, sebelum sekali lagi diberi kepercayaan sama pada Jan 2022.
Pada Jun tahun yang sama, Salim dilantik sebagai pengerusi sementara MCMC yang membuka jalan untuk dia mengambil alih jawatan pengerusi pada Mac tahun berikutnya.