Umat Islam diharapkan untuk lebih berhati-hati dalam berbicara di media sosial dan mengelak daripada mengeluarkan pendapat sehingga mencetuskan perpecahan dan mengganggu gugat keharmonian sesama rakyat negara ini yang berbilang kaum.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Datuk Dr Nooh Gadot berkata sebagai umat Islam, mengutamakan akhlak yang baik dalam setiap percakapan mahupun penulisan, adalah satu tuntutan agama.
“Islam merupakan sebuah agama yang amat menitikberatkan perihal akhlak.
“Menggunakan kata-kata yang dapat menyakiti sesama umat Islam, kaum-kaum yang lain atau menimbulkan kebencian bertentangan dengan ajaran Islam, yang amat menekankan kepada perpaduan dan hubungan saling hormat-menghormati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kempen Kalimah Toyyibah gagasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas, bertepatan dengan situasi semasa.
Kempen itu bertujuan menerapkan masyarakat yang mengamalkan budi bahasa sopan, santun dan berhemah dalam pergaulan, dengan menjadikan Rasulullah SAW, contoh terbaik insan yang beradab dan berbudi pekerti tinggi sebagai teladan.
“Oleh itu, saya dengan rasa rendah hati ingin menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan kaum-kaum yang lain agar bersikap ikhlas, bertanggungjawab dan berhati-hati di dalam berbicara dalam mengeluarkan pandangan di media sosial.
“Mudah-mudahan setiap perkataan yang dilontarkan membawa manfaat kepada umat Islam dan kaum-kaum yang lain seluruhnya serta tidak memudaratkan keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara kita yang diberkati ini,” katanya.
- Bernama