ADS
mk-logo
Berita
Urimai kecam DBKL jual tapak kuil Hindu kepada Jakel
Diterbitkan:  Mar 21, 2025 10:25 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy menyelar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menjual sebidang tanah berdekatan Jalan Masjid India setelah mengarahkan sebuah kuil Hindu berpindah ke lokasi tersebut.

Isu ini tercetus susulan pemilik baru tanah, Kumpulan Jakel bercadang untuk membina sebuah masjid di tapak berkenaan.

Ramasamy berkata DBKL tidak boleh lepas tangan daripada kontroversi itu dengan menyifatkannya sebagai isu persendirian semata-mata.

Menurutnya, DBKL pada tahun 2008 mengarahkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berpindah ke tapak sekarang di Jalan Bunus, berhampiran Jalan Masjid India.

ADS

Dia mendakwa DBKL sebelum ini memberi gambaran kepada jawatankuasa kuil bahawa tapak baru itu akan menjadi lokasi kekal namun kemudiannya menjual tanah tersebut kepada syarikat swasta pada 2014.

"Penglibatan DBKL dalam sejarah perpindahan kuil tersebut, diikuti penjualan tanah itu kepada Jakel, membuktikan DBKL tidak boleh begitu saja mengelak tanggungjawabnya.

"Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif telah cuba menjadi orang tengah dengan menggambarkan DBKL dan kerajaan sebagai pihak neutral.

"Namun, hakikat sebenarnya jauh berbeza.

ADS

"Walaupun beliau mungkin masih baru dalam tugas ini, beliau perlu sedar bahawa DBKL memainkan peranan utama dalam memaksa perpindahan kuil tersebut serta kegagalannya memastikan tapak kekal bagi kuil itu," kata Ramasamy.

Dakwanya lagi, kuil berkenaan sepatutnya diberi status warisan kerana sudah ada sebelum merdeka bukannya dibiarkan dalam keadaan terdedah kepada risiko perpindahan berulang kali.

Ramasamy turut mengecam cadangan memindahkan semula kuil itu sambil menyoal jaminan lokasi berikutnya akan kekal.

Dia juga mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa hanya membisu dalam isu ini dan sekadar menghantar seorang menteri serta beberapa ahli parlimen berketurunan India untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Beliau sering lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin, tetapi kekal membisu terhadap penderitaan rakyat Malaysia yang berjuang melindungi rumah ibadat mereka sendiri.

"Sekiranya Anwar benar-benar seorang pemimpin hebat seperti didakwanya, beliau boleh menamatkan ketidakadilan ini dengan satu goresan pena sahaja.

"Daripada menghantar 'wakil-wakil India' beliau untuk mencapai kompromi yang tidak adil, beliau sepatutnya bertindak tegas melindungi hak tapak kuil ini," ujar Ramasamy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS