ADS
mk-logo
Berita
Mujahid ingatkan Hadi - Had tempoh PM dicadang sejak zaman BA, PR
Diterbitkan:  Mar 20, 2025 12:41 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa menegaskan keputusan untuk mengehadkan tempoh perdana menteri selama 10 tahun bukan kehendak DAP, namun telah disepakati sejak era Barisan Alternatif (BA) yang turut disertai PAS.

Mujahid berkata, tindakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menghalakan kritikan terhadap DAP berhubung perkara itu seolah-olah "tersasul" kerana hakikatnya dia mengetahui matlamat cadangan itu.

Mahathir Mohamad

“Apakah tindakan presiden PAS itu bertujuan untuk mempertahankan Dr Mahathir Mohamad yang memimpin negara selama 22 tahun dan kini merupakan Penasihat SG 4.

"Mahathir (22 tahun sebagai perdana menteri) yang pernah digelar sebagai 'MahaFiraun' kerana di dakwa ada ciri-ciri kediktatoran berlaku disebabkan tiada had kepada perjawatannya?

ADS

"Sepatutnya ibrah besar (pengajaran) yang perlu diambil iktibar sebagai solusi kepada masalah tersebut ialah mengehadkan tempoh PM supaya mimpi ngeri yang sama tidak berulang! Ambillah pengajaran wahai yang tajam pengamatannya.

"Tersasulnya presiden PAS buat sekian kalinya dalam memahami realiti semasa sama ada disebabkan kerana DAP yang menyebutnya atau kerana ingin mempertahankan penasihat SG4 yang memerintah 22 tahun sebagai perdana menteri sebelum ini atau presiden PAS ini berpura-pura tidak tahu, hanya Allah sahaja yang maha mengetahui.

SG4

“Keperluan mengehadkan dua penggal perjawatan PM bukan sebab DAP yang berkehendakkannya tetapi disepakati sejak BA (1999), Pakatan Rakyat (2009-2013) di mana presiden PAS itu pernah menyertainya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menyelar pihak yang “berlumba-lumba” memberikan sambutan positif terhadap pendirian DAP supaya jawatan perdana menteri dihadkan kepada 10 tahun.

Tidak menamakan pihak itu secara khusus, dia berkata mereka seolah-olah lupa, jahil atau tidak mempedulikan dasar lebih penting, iaitu “mencapai wawasan dunia dan akhirat yang kekal mengikut ketetapan Allah yang mewajibkan Islam memimpin negara”.

“Hal ini demikian kerana, tanggungjawab tersebut merupakan amanah yang besar daripada Allah,” tulis anggota parlimen Marang di media sosial.

Abdul Hadi Awang

“Bukan sekadar membahagikan jawatan atau memberikan kerja dalam tempoh tertentu kepada seseorang untuk menikmati jawatan, kemudian digilirkan kepada seseorang yang lain untuk mengambil kesempatan juga.”

Cadangan untuk mengehadkan jawatan perdana menteri muncul kembali apabila dibangkitkan dalam kongres tahunan DAP beberapa hari lalu.

Setiausaha agungnya Anthony Loke membangkitkan cadangan itu sebagai antara reformasi yang belum ditunaikan.

Sementara itu Mujahid berkata, dakwaan Abdul Hadi bahawa wawasan akhirat dan dunia adalah tersasar daripada perbahasan.

Mujahid Yusof Rawa

Mujahid mempersoalkan apakah tempoh 10 tahun tidak mencukupi untuk melaksanakan visi dan misi dunia, akhirat kepada rakyat oleh seorang pemimpin.

"Malaysia memerlukan kesegaran kepada politik Islam yang lebih inklusif, semasa dan berorientasikan kearifan lokal.

"Ide-ide yang mengikuti keperluan semasa, suasana yang melingkungi negara demi mencapai sesuatu kemaslahatan yang membangunkan negara adalah ciri-ciri yang melahirkan sebuah organisasi politik Islam yang berdaya saing, dinamik dan melihat masa depan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS