Ketua Pemuda PKR (AMK) Adam Adli Abd Halim menyambut baik komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun.
Menurutnya, langkah ini sejajar dengan agenda reformasi yang diperjuangkan PH sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan memastikan kepimpinan negara terus segar dengan idea baru serta mengukuhkan integriti pentadbiran.
“Ini bukan perkara baru—ini adalah janji PH sejak PRU15. Had tempoh ini akan menghalang penyalahgunaan kuasa, mengukuhkan integriti pentadbiran dan memastikan kepimpinan negara sentiasa segar dengan idea baru,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Adam turut menegaskan reformasi ini memerlukan iltizam politik yang kuat kerana pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen.

Oleh itu, dia menggesa semua pihak termasuk pembangkang untuk bersama-sama menjayakannya.
“Sokongan dua pertiga ahli parlimen amat diperlukan dan semua pihak, termasuk pembangkang, perlu melihat kepentingan agenda ini demi kesejahteraan negara.
"Jika ini direalisasikan, kerajaan Madani akan terpahat dalam sejarah sebagai kerajaan yang berani membawa perubahan. Inilah reformasi sebenar, inilah politik masa depan,” tambahnya.
Bersih: Sesi parlimen akan datang bentang RUU
Sementara itu, Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Aziz turut senada dengan AMK bahawa had tempoh jawatan Perdana Menteri perlu digubal menerusi pindaan Perlembagaan.
Menurutnya, sesi Parlimen yang akan datang adalah masa terbaik untuk kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pindaan tersebut.
“Pindaan boleh dibuat kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peraturan yang menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Faisal yakin kerajaan Madani yang mempunyai kedudukan kukuh di Dewan Rakyat tidak akan menghadapi kesukaran untuk memperoleh sokongan majoriti dua pertiga, seperti kejayaan mereka sebelum ini dalam meminda Perlembagaan bagi menggubal semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Dia turut berharap agar pembangkang memberikan sokongan demi kepentingan negara.
“Sekiranya pindaan ini dapat diluluskan, ia akan menjadi contoh yang baik dan boleh diteladani oleh kerajaan negeri untuk menghadkan tempoh jawatan menteri besar, ketua menteri atau premier dengan meminda Perlembagaan negeri masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan persetujuannya terhadap had tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun ketika berucap dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18.
Menurutnya, meskipun cadangan itu telah dipersetujui dalam PH, ia tetap memerlukan kelulusan dua pertiga di Parlimen untuk menjadi kenyataan.
"Saya bersetuju dengan beberapa cadangan (reformasi). Untuk mengehadkan perdana menteri untuk 10 tahun memegang jawatan.
"Kerana kita tahu jika ia mencecah 22 tahun, itu akan memusnahkan negara," kata Anwar dengan sindiran halus kepada salah seorang pengkritik tegarnya, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.