Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng mengingatkan bahawa parti itu tidak akan menjadi yes-man atau pak turut meskipun merupakan ‘rakan setia’ kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya di Kongres Kebangsaan DAP ke-18 hari ini, Lim mengetuai seramai 3,204 perwakilan dan pemimpin parti itu bangun dan memberikan tepukan kepada Anwar yang hadir buat pertama kali atas kapasitinya sebagai perdana menteri.
"DAP adalah rakan yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah pun dibuktikan sejak Lim Kit Siang menjadi setiausaha agung hingga sekarang Anthony Loke, kita tidak berbelah bagi menyokong Datuk Seri Anwar ibrahim.
"DAP rasa bangga bahawa kita boleh bantu sama Datuk Seri Anwar menjadi perdana menteri dan kita akan terus memberikan sokongan sedemikian.
"Marilah kita bangun untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan beliau.
"Namun biar saya tegaskan bahawa DAP bukan parti yes-man. DAP hanyalah yes-man kepada pengundi kita dan rakyat Malaysia," tegas Lim pada kongres yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideas, Shah Alam.

Sambil memuji pelbagai reformasi politik dan institusi yang diperkenalkan sepanjang 28 bulan berkuasa, bekas menteri kewangan itu menekankan keperluan untuk mempercepatkan reformasi ekonomi bagi melindungi masa depan negara.
Lim antara lain mengulas kenaikan tarif import yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang dibimbangi akan memberi kesan kepada eksport Malaysia.
“Kita harap bantuan kewangan tambahan dapat diberikan kepada perniagaan yang terjejas akibat tarif Trump, serta menangguhkan atau melambatkan pelaksanaan beberapa dasar kewangan yang akan menambah beban kewangan,” katanya.
Dalam ucapannya, Lim turut menyatakan penghargaan kepada veteran DAP yang tidak bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu tahun ini iaitu Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, M Kulasegaran.
Lim menghadiri kongres DAP tahun ini di tengah-tengah spekulasi mengenai masa depannya sebagai pengerusi parti itu dan kedudukannya dalam CEC.
Namun Ahli Parlimen Bagan itu hari ini menegaskan bahawa hanya setiausaha agung DAP mempunyai kuasa untuk menetapkan halatuju parti itu.