Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dipilih semula oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru parti itu dalam pemilihan yang berlangsung hari ini.
"Hari ini tidak ada rombakan," selorohnya selepas mengumumkan pemilihannya semula dalam sidang media yang menutup tirai pemilihan DAP.
Namun, bagi jawatan lain dalam CEC, perubahan besar telah berlaku.
Loke akan dibantu oleh tiga timbalan setiausaha agung iaitu Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Sementara itu, Gobind Singh Deo dipilih sebagai pengerusi DAP oleh 30 ahli CEC, dengan Nga Kor Ming sebagai timbalannya.
Pengumuman mengenai pelantikan Gobind disambut dengan sorakan dan laungan namanya oleh para perwakilan yang hadir.
Lima naib pengerusi DAP yang baru:
Chong Chieng Jen
- ADS
Teo Nie Ching
Ng Suee Lim
Syahredzan Johan
J Arul Kumar
Sementara itu, bekas pengerusi DAP Lim Guan Eng pula dilantik sebagai penasihat kebangsaan DAP.
‘Ini malam Loke’
Ketika ditanya dalam sidang media, Lim Guan Eng enggan memberikan sebarang komen, sebaliknya berkata:
"Saya akan menjawab soalan anda di lain hari, tetapi malam ini, saat ini milik Loke."
Dia turut menggesa ahli parti untuk bersatu di bawah kepimpinan Loke dan menerima keputusan pemilihan DAP dengan hati terbuka.

Loke dalam maklum balasnya menegaskan kekuatan parti terletak pada kepimpinan kolektif dan kebersamaan semua ahli.
"Kami bekerja sebagai satu pasukan," katanya 'meredakan' persaingan antara dua kem terbesar dalam DAP.
Beberapa lagi pemimpin yang diberikan jawatan dalam CEC kali ini termasuk:
Bendahari:
Ngeh Koo Ham (ahli parlimen Beruas)
Ng Sze Han sebagai Penolong Bendahari
Setiausaha Publisiti Nasional:
Yeo Bee Yin (ahli parlimen Puchong)
Young Syefura Othman (ahli parlimen Bentong) – Penolong
Wong Shu Qi (ahli parlimen Kluang) – Penolong
Setiausaha Antarabangsa:
Kasthuri Patto
Alice Lau (ahli parlimen Lanang) – Penolong
Loke turut mendedahkan pemilihan dalaman jawatankuasa pusat (CEC) DAP untuk melantik pemimpin parti hanya mengambil masa kurang setengah jam, menandakan kesepakatan dalam pemilihan jawatan.
"Ini menunjukkan semua pemilihan itu dilaksanakan, dilakukan secara sebulat suara tanpa ada apa-apa persaingan dalam apa sahaja jawatan dalam jawatankuasa itu," jelasnya.
Bagaimanapun, jawatan ketua ahli parlimen DAP masih belum diputuskan dan CEC belum membuat pelantikan tambahan dalam jawatankuasa tersebut.