Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan dia tidak akan memegang jawatan itu melebihi dua penggal atau maksimum 10 tahun.
Dalam ucapannya di Kongres Kebangsaan DAP ke-18, Anwar berkata dia bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal sahaja.
"Saya bersetuju dengan beberapa cadangan (reformasi). Untuk mengehadkan perdana menteri untuk 10 tahun memegang jawatan.
"Kerana kita tahu jika ia mencecah 22 tahun, itu akan memusnahkan negara," kata Anwar dengan sindiran halus kepada salah seorang pengkritik tegarnya, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi PH itu menambah, walaupun cadangan itu dipersetujui PKR dan komponen PH yang lain, perkara itu perlu mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga di parlimen.
"Jangan risau, jika terpulang kepada saya, saya tidak akan lulus 10 tahun. Hanya dua tahun dan saya penat.

“Jika ada persetujuan dua pertiga, kita boleh mendesak pindaan pada sidang (parlimen) akan datang,” katanya lagi.
Anwar berkata demikian sebagai respons kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang dalam ucapan dasar sebelum itu mengingatkan beberapa janji pembaharuan yang belum ditunaikan.
Ia termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, dan pengasingan kuasa kehakiman.
Dalam ucapannya, Loke menjelaskan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri bukanlah satu kritikan terhadap Anwar.
Sebaliknya, dia menyifatkannya sebagai satu legasi reformasi untuk perdana menteri, sambil menegaskan sokongan berterusan DAP terhadap Anwar sehingga pilihan raya umum akan datang.
Loke turut menyatakan sokongan terhadap pindaan Perlembagaan untuk memisahkan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.