Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini mengumumkan akan melakukan "rombakan besar-besaran" terhadap jawatankuasa pusat parti itu, seperti yang digambarkannya semalam.
Loke berkata dia akan membuat perubahan kepada struktur jawatankuasa itu dengan memperkenalkan beberapa jawatan baru, selain menetapkan menteri dan timbalan menteri tidak boleh berkhidmat sebagai ketua parlimen DAP.
Sehubungan dengan itu, Loke berkata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak lagi dapat memegang jawatan ketua parlimen DAP.
Dia juga secara berseloroh "meminta maaf" kepada Nga Kor Ming.

“Bagi melenyapkan dakwaan bahawa DAP tidak lantang, saya mencadangkan mewujudkan beberapa jawatan baru dalam jawatankuasa pusat, yang juga akan dimasukkan dalam perlembagaan parti.
“Menteri dan timbalan menteri tidak akan dibenarkan memegang jawatan ketua parlimen. Maaf, Kor Ming. Kami akan memilih pemimpin parlimen baru yang akan bercakap tanpa rasa takut bagi pihak parti kami,” katanya.
Menurut pengumuman Loke, DAP akan menubuhkan tiga jawatan baru dalam jawatankuasa pusat iaitu pengarah strategi, pengarah dasar dan pengarah pilihan raya.
Seperti yang dibayangkan sehari sebelumnya, dia menyatakan parti itu akan memasukkan mekanisme pemilihan calon dalam perlembagaannya.
Menjawab secara tidak langsung kepada bekas ahli jawatankuasa pusat, Teng Chang Khim, Loke berkata:
“Ada yang menegaskan jawatankuasa ini tidak termasuk dalam perlembagaan parti. Sekarang, kami akan menggabungkannya secara rasmi.”
Bagaimanapun, Loke berkata cadangan itu masih perlu dibahaskan pada kongres DAP tahun ini dan akan dibentangkan untuk kelulusan pada kongres tahun depan.
Dalam ucapannya di kongres DAP ke-18, Loke turut mencadangkan supaya ketua sayap wanita itu dimasukkan sebagai ahli tetap jawatankuasa pemilihan calon.
"Saya mahu membawa perubahan dan reformasi dalam parti," katanya pada kongres yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.
Calon wanita dalam PRU
Selain itu, Loke turut mengulas usaha DAP untuk menampilkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang.

"Ini bukan lagi janji, ini bukan lagi komitmen, ini wajib dilaksanakan dalam PRU ke-16," katanya.
Dia turut mengimbas semula perubahan yang telah dilalui oleh DAP sepanjang 59 tahun penubuhannya.
"DAP memainkan peranan yang berbeza pada hari ini. Kita menyambut ulang tahun ke-59 pada hari selasa akan datang 18 Mac. Tahun depan kita akan mencapai umur warga emas," katanya berseloroh.