Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas pembangkang kerana mengancam untuk mengadakan himpunan bagi membantah cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Bercakap di majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur hari ini, Anwar memberi amaran kepada pembangkang agar tidak mengganggu rancangan kerajaan yang bertujuan membantu masyarakat Melayu di bandar.
Katanya, kerajaan juga boleh menggerakkan himpunan yang lebih besar untuk mempertahankan cadangan tersebut.
“Saya nak beritahu mereka, jangan cabar kita kalau kita nak bela nasib orang miskin majoriti Melayu (dan) sebahagian kecil (orang) India dan Cina.
“Dan kamu nak ganggu…Kalau dia (pembangkang) nak buat himpunan, kita boleh buat himpunan satu stadium untuk pertahankan dasar membela orang Melayu ini,” katanya.
Anwar berkata demikian sebagai respons kepada pihak yang menentang URA, dengan ada mendakwa ia akan menyebabkan orang Melayu miskin terusir dari kawasan bandar.
Antara pihak yang kuat menentang URA ialah Pemuda PAS, yang menyuarakan hasrat untuk menggerakkan himpunan.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Hafez Sabri menyifatkan cadangan undang-undang itu sebagai "penjajahan moden" dan mendakwa ia akan menyebabkan golongan miskin diusir dari tanah mereka seperti rakyat Palestin.
‘Menyesatkan’
Dalam ucapannya hari ini, Anwar menegaskan bahawa URA tidak akan menyebabkan orang Melayu terpinggir dalam apa jua bentuk.
Dia menempelak ahli politik Melayu yang menentang cadangan undang-undang itu sebagai "hilang pedoman" dan "menyesatkan".
"(Mereka) yang menentang ini orang Melayu, atas nama parti Melayu, parti Islam.
“Apa mereka pernah cadang untuk tolong Melayu? Tidak ada. Ada mereka pernah cadang apa nak dilakukan untuk bela nasib Melayu miskin di bandar? Tak ada.
“Kita usulkan (URA). Kalau ada yang nak tegur, (sila) tegur. Nak beri pandangan tambahan, silakan.
“Tapi jangan khianati usaha kita,” kata Anwar lagi.
Terdahulu, kerajaan dilaporkan berhasrat untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) URA di Parlimen pada Jun atau Julai ini.
Di bawah cadangan tersebut, kerajaan persekutuan berhasrat untuk menurunkan nilai ambang persetujuan untuk pemilik bagi projek pembaharuan bandar.
Baca: PANDUANKINI | Akta Pembaharuan Semula Bandar - Apa kita tahu setakat ini?
Pada masa ini, Akta Hak Milik Strata memerlukan perbadanan pengurusan mendapatkan "resolusi sebulat suara" daripada pemilik bangunan atau tanah sebelum ia boleh melaksanakan projek sedemikian.
Anwar sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa URA tidak akan memaksa pemilik hartanah menyerahkan rumah mereka atau mengubah komposisi etnik di kawasan kediaman.
Dia turut memberi jaminan bahawa URA tidak akan mengandungi peruntukan yang boleh menyebabkan pemilik - tanpa mengira kaum - kehilangan hak milik hartanah mereka.
Timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini mendakwa URA adalah cara halus untuk menyingkirkan orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar kerana mereka tidak akan mampu membeli semula rumah yang dibangunkan semula.
Dakwaan itu juga dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang berkata pelaksanaan akta itu hanya akan membolehkan golongan kaya dan pemilik perniagaan tinggal di kawasan bandar, menyebabkan masa depan masyarakat Melayu tidak menentu.