ADS
mk-logo
Berita
Tiga bekas AJK JMB pangsapuri didakwa pecah amanah RM30,000
Diterbitkan:  Mar 14, 2025 4:00 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Tiga bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) badan pengurusan bersama (JMB) sebuah pangsapuri kos rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang RM30,000, enam tahun lepas.

Bekas pengerusi JMB Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan 1, Hashim Saad, 61, bekas setiausahanya Mohammad Abu Dzar Abu Samah, 37, dan bekas bendaharinya Rohana Mohd Aroff, 59, didakwa melakukan pecah amanah wang RM30,000 milik JMB itu yang diamanahkan kepada mereka untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat JMB Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan 1, Cheras, di Kuala Lumpur pada 10 Julai 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor M. Alli Nangai menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh. 

ADS

Peguam Gursharonjit Kaur, Luqman Hakim Azhar dan Shahir Ab Razak, masing-masing mewakili Hashim, Rohana dan Mohammad Abu Dzar memohon jaminan rendah atas alasan anak guam mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dan tidak berisiko untuk melarikan diri.

Majistret M.S Arunjothy membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 April ini bagi sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS