ADS
mk-logo
Berita
Ismail Sabri: Saya akan beri kerjasama hingga siasatan selesai
Diterbitkan:  Mar 13, 2025 5:58 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Berdepan siasatan SPRM, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmen untuk terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai.

"Hari ini, saya telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

"Saya akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai," katanya dalam kenyataan media ringkas, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas dia memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.

Malaysiakini pagi tadi melaporkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9.45 pagi.

ADS

Difahamkan proses siasatan terhadap Ismail Sabri berlangsung lebih empat jam dan tamat pada jam 3 petang.

Ismail Sabri dijangka hadir sekali lagi memberi keterangan esok.

Rakaman percakapan Ismail Sabri sepatutnya diambil pada 7 Mac lepas, namun ditangguhkan ke hari ini atas faktor kesihatan.

ADS

Sebelum itu, perdana menteri kesembilan itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta selepas rebah di rumahnya pada 21 Feb lepas.

Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house dalam satu serbuan.

Wang tunai itu dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Franc Swiss dan Yuan manakala 16 kilogram jongkong emas tulen yang turut disita dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa pentadbiran Ismail Sabri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS