Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar dibebaskan petang tadi selepas empat hari ditahan reman oleh SPRM.
Dia yang ditahan atas dakwaan rasuah Jumaat lalu keluar dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekitar jam tiga petang.
Turut hadir ialah isteri Nantha dan Editor Eksekutif Malaysiakini, RK Anand.
Anand membayar jaminan RM10,000 untuknya.
Nantha didakwa menerima RM20,000 daripada seorang ejen yang berurusan dengan pekerja asing, sebagai pertukaran untuk tidak menerbitkan dua artikel yang mendedahkan kartel tersebut.
Wartawan ini berkhidmat dengan Malaysiakini sejak 2018 dan telah menulis secara meluas tentang sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.
Sementara itu, Bernama memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebagai berkata, wartawan itu dibebaskan selepas tempoh remannya tamat hari ini.
“Beliau dibebaskan dengan jaminan SPRM dan siasatan masih diteruskan,” katanya sambil menambah pihaknya akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu melengkapkan siasatan.
Azam berkata kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Semalam, Azam dilaporkan berkata penahanan wartawan lelaki itu dibuat berhubung dakwaan kes rasuah dan bukannya mengenai sebarang laporan berita yang ditulisnya, serta disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Wartawan tersebut disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan menurunkan artikel yang dimuat naik, serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.
Nota editor:
Malaysiakini menyedari keseriusan tuduhan terhadap wartawan kami dan tidak memandang ringan perkara ini. Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengetahui fakta sebenar.
Sejak menyertai Malaysiakini pada 2018, Nantha berkhidmat dengan cemerlang, menghasilkan banyak laporan eksklusif yang menjadi tajuk utama. Laporannya yang berani mengenai sindiket berkaitan pekerja asing telah membantu mendedahkan isu-isu kritikal.
Memandangkan rekod kerjanya, kami mendapati tuduhan ini sukar difahami.
Malaysiakini tetap berpegang teguh pada komitmen terhadap integriti kewartawanan, ketelusan, dan pelaporan beretika—prinsip yang membimbing kami sejak penubuhan. Kami percaya pada ketelusan, keadilan, dan usaha tanpa henti untuk mencari kebenaran.
Siasatan kami akan dilakukan secara menyeluruh, adil, dan selaras dengan nilai-nilai yang kami pegang.
Memandangkan sifat kerja Nantha dan laporan Malaysiakini mengenai skandal rasuah berprofil tinggi yang didedahkannya itu, kami komited untuk menyiasat secara menyeluruh untuk mencari kebenaran dan menentukan jika ada sebarang usaha dibuat untuk menutup mulutnya atau menjejaskan reputasi Malaysiakini.
Kami menyeru pihak berwajib untuk melindungi pemberi maklumat yang berkaitan dengan siasatan Nantha, yang sebahagian daripada mereka memegang jawatan tinggi di Jabatan Imigresen.