Seorang lelaki memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan hukuman rotan 12 sebatan yang dikenakan terhadapnya oleh mahkamah lebih rendah.
Permohonan itu dibuat kerana bimbang hukuman itu boleh membunuhnya.
Mahkamah Persekutuan menetapkan Isnin minggu depan untuk mendengar permohonan semakan J Sivachandran terhadap hukuman bagi kesalahan kes bunuh itu.
Menurut kertas kausa, Mahkamah Persekutuan pada 3 Oktober tahun lalu membenarkan rayuannya terhadap hukuman mati.
Dia kemudian dijatuhi hukuman baru iaitu 30 tahun penjara dan 12 sebatan rotan.
Sivachandran berhujah bahawa hukuman sebatan mempunyai risiko nyata menyebabkan kematiannya, melanggar hak asasinya untuk hidup dan kebebasan serta kesaksamaan di sisi undang-undang yang dilindungi oleh Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Dia memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sebatan sementara menunggu keputusan semakan.
Sivachandran memetik kes seorang bekas banduan dari Penjara Pokok Sena, Kedah, yang disahkan meninggal dunia akibat '"jangkitan sekunder akibat trauma tumpul pada bahagian gluteal' selepas menjalani hukuman sebatan pada 25 September tahun lalu.
"Pemohon percaya bahawa fakta kes Zaidi adalah serupa dengan kes pemohon kerana Zaidi juga sebelum ini dijatuhkan hukuman mati dan telah membuat rayuan terhadap hukuman tersebut yang kemudiannya diubah kepada 33 tahun penjara dan 12 sebatan rotan.
"Pemohon percaya bahawa berdasarkan kes Zaidi, hukuman sebatan adalah hukuman yang tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menyediakan hak untuk hidup.
"Pemohon dengan ikhlas percaya bahawa sekiranya hukuman yang sama dijalankan terhadap pemohon, hak pemohon untuk hidup mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan akan terjejas dengan ketara.
"Terdapat risiko yang benar-benar mengancam nyawa terhadap pemohon sekiranya hukuman sebatan dijalankan terhadap pemohon mengikut perintah tersebut," kata Sivachandran yang diwakili peguam dari firma guaman Raj & Sach.
Pada 28 Februari 2019, Mahkamah Tinggi Temerloh mendapati lelaki berusia 36 tahun itu bersalah atas tuduhan membunuh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.
Pada 10 Januari 2023, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.
Kemudian, tahun lalu, mahkamah tertinggi membenarkan rayuannya terhadap hukuman tersebut dan menggantikan hukumannya dengan 30 tahun penjara dan 12 sebatan rotan.