Lima lelaki yang terlibat dalam kes memukul seorang lelaki kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astana Chukai, di Kemaman Jan lepas, masing-masing didenda RM2,000.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Razi Rosli, berkata hukuman tersebut dikenakan selepas mereka mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan semasa prosiding di Mahkamah Majistret Kemaman pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, Mohd Razi dalam kenyataan hari ini berkata, seorang lagi tertuduh yang turut ditahan berkaitan kes tersebut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
“Justeru, orang awam dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan spekulasi yang tidak benar. Kami akan sentiasa memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.
“Pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang prihatin dalam penyaluran maklumat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Razi turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan di tempat awam.
Sebelum ini tular di laman sosial video sepanjang hampir dua minit yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.
Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan makanan jualan terjatuh.
- Bernama