Harimau Malaya telah lama diraikan sebagai antara simbol kekuatan dan keberanian negara Malaysia. Ia menghiasi Jata Negara dan tanda kebesaran diraja serta menjadi ikon identiti pelbagai agensi kerajaan dan korporat di negara ini.
Namun, kewujudannya tidak lama lagi mungkin hanya pada simbol budaya dan gelaran pasukan bola sepak kebangsaan sahaja. Kelangsungan hidup spesies ini sedang terancam, dengan anggaran populasi kurang daripada 150 ekor di Semenanjung Malaysia menjelang 2022.
Demikian dapatan awal 1st National Tiger Survey (tinjauan kebangsaan harimau pertama di Malaysia), yang dijalankan dari 2016 hingga 2020.
Angka ini amat berbeza dengan anggaran sebelumnya iaitu 250-340 ekor harimau, menurut tinjauan itu yang merupakan usaha sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, WWF-Malaysia dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.
Anggaran populasi harimau Malaya pada 1950-an dipercayai sekitar 3,000 ekor.
Kini, harimau Malaya diklasifikasikan sebagai Sangat Terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN.
Ini bermaksud spesies ini berisiko tinggi untuk pupus di habitat liar.
‘Hutan tanpa binatang’
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada pengurangan ketara populasi harimau Malaya, kata Pengarah Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia, Dr Mark Rayan Darmaraj.
Pemburuan haram masih menjadi faktor utama yang menyumbang kepada pengurangan populasi spesies ini. Ia bukan sahaja melibatkan pemburuan harimau tetapi juga spesies yang menjadi mangsa mereka.
“Sepuluh tahun dahulu, (pemburuan harimau Malaya secara) perangkap haram ini boleh dikatakan agak terpencil, tetapi sejak itu ribuan perangkap telah dikesan di hutan kita.
“Pemburuan secara besar-besaran oleh penduduk tempatan dan pemburu haram dari rantau Indochina berpotensi menghapuskan populasi mamalia besar dalam tempoh masa agak singkat. Akhirnya, hutan berisiko kehilangan mamalia besar, seterusnya menyebabkan ‘sindrom hutan kosong’,” katanya kepada Bernama.
Untuk memastikan populasi harimau berkembang biak dengan baik, spesies ini memerlukan bekalan makanan daripada sumber mangsa yang bersaiz besar seperti rusa Sambar.
Malangnya, populasi rusa Sambar telah merosot dengan ketara akibat pemburuan berlebihan kerana populariti daging mereka. Ini menyebabkan sumber makanan harimau berkurangan mendadak.
Rusa Sambar adalah spesies rusa terbesar di Malaysia, dan berkemungkinan sumber makanan paling digemari harimau Malaya berdasarkan nisbah berat badan mereka, kata Mark Rayan.
Selain itu, kehilangan habitat menjadi cabaran utama. Kawasan habitat hidupan liar pada masa ini semakin mengecil disebabkan pembangunan perumahan, jalan raya, landasan kereta api, ladang dan infrastruktur linear lain.
Pembinaan ini menceroboh ruang kritikal yang diperlukan hidupan liar untuk kelangsungan hidup.
Tambahan pula, penyebaran demam babi Afrika (ASF) baru-baru ini telah mengurangkan lagi sumber bekalan makanan harimau, menggandakan cabaran dihadapi harimau Malaya di habitat liar.
ASF adalah penyakit virus yang menjejaskan babi dan babi hutan, dengan kadar kematian yang mampu mencapai 100 peratus.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), wabak ASF pertama di Malaysia dikenalpasti pada Februari 2021 di Sabah, dan pada Disember 2021 di Semenanjung Malaysia.
Wabak itu juga dikesan pada babi hutan di Perak pada Julai 2023, diikuti dengan penyebaran di ladang ternakan babi di negeri itu dan juga di Kedah pada hujung Oktober tahun yang sama.
Mark Rayan berkata, ASF bukan sahaja menghapuskan populasi babi yang diternak untuk kegunaan manusia, tetapi juga populasi liar yang menjadi mangsa harimau.
Apa yang berlaku seterusnya ialah kesan berangkai.
“Harimau memerlukan mangsa besar, dan mangsa terbesar untuk mereka di sini ialah rusa Sambar. Namun, rusa ini telah diburu sehingga tinggal sedikit di seluruh Semenanjung Malaysia. Jadi sekarang, harimau perlu bergantung pada populasi babi.
“Tetapi babi pula mati akibat penyakit ASF ini. Kini, sumber makanan harimau Malaya semakin sedikit,” jelasnya ketika satu sesi di persidangan dasar awam, PRAXIS 2024, yang diadakan di sini baru-baru ini.
Ini menyebabkan spesies itu memperluas kawasan perburuan mereka, yang akhirnya menyebabkan mereka menceroboh kawasan yang sebelum ini tidak pernah mereka jejaki.
Beberapa langkah penting telah diambil dalam usaha pemuliharaan hidupan liar dan harimau dalam tempoh lima tahun lepas, khususnya di Malaysia.
Salah satu inisiatif penting yang diambil ialah penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan Harimau Malaya pertama, dengan tujuan menggariskan strategi bagi memelihara spesies itu.
Penubuhan pasukan ini menjawab permintaan NGO pemuliharaan harimau yang kerap diutarakan sejak beberapa tahun lalu.
Usaha ini disokong dua inisiatif utama: Operasi Bersepadu Khazanah dan program renjer komuniti, kedua-duanya bertujuan untuk meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan di dalam dan sekitar habitat hidupan liar.
Operasi Bersepadu Khazanah, yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, melibatkan penyertaan pelbagai agensi dan NGO.
Biro jenayah hidupan liar
Program renjer komuniti pula diketuai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dengan sokongan NGO dan kerajaan. Ia melibatkan lebih 1,000 peronda yang termasuk anggota komuniti Orang Asli, penduduk tempatan, dan veteran tentera dengan tujuan melindungi habitat hidupan liar.
Pihak polis juga telah menubuhkan Biro Jenayah Hidupan Liar, dan meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar pada 2022 dengan memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah hidupan liar.
“Inisiatif yang amat diperlukan ini telah membantu usaha pemuliharaan harimau dan hidupan liar lain, tetapi usaha di lapangan masih perlu dikekalkan, diperluas dan diperbaiki di mana perlu,” kata Mark Rayan.
Beliau juga menekankan penubuhan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kebangsaan sebagai mekanisme yang menjanjikan insentif kepada negeri untuk memulihara hutan mereka dan menangani masalah kehilangan habitat.
Namun, jumlah pampasan mesti dinaikkan dengan lebih banyak agar menjadi insentif galakan yang lebih berkesan, katanya.
“Di samping itu, cara negeri menggunakan dana EFT memerlukan tadbir urus yang lebih baik serta perlu diselaraskan. Ini bagi memastikan status hutan asli sedia ada tidak sewenang-wenangnya ditukar kepada kegunaan tanah lain atau terdegradasi.”
Selain meningkatkan usaha anti-pemburuan di lapangan, Mark Rayan berpendapat adalah penting untuk menyiasat motif penglibatan pemburu haram serta peniaga lain dalam rantaian pemerdagangan hidupan liar.
“Selain usaha mengurangkan permintaan, strategi jangka panjang lain mungkin perlu dibangunkan untuk perubahan tingkah laku.
“Apakah yang mendorong seseorang untuk menjadi pemburu haram?
“Pemahaman lebih baik dapat membantu dalam pengambilan langkah yang lebih berkesan bagi menghalang mereka menjadi pemburu haram atau menjadikan peralihan ‘kerjaya’ ini kurang menarik,” katanya.
Ini termasuk memahami keperluan asas komuniti setempat dan membantu mereka memenuhi keperluan tersebut, selain menyukarkan aktiviti pemburuan dan meningkatkan kebarangkalian ditangkap sebagai langkah pencegahan.
Keperluan asas komuniti boleh melibatkan kemudahan mendapatkan air bersih, pemberdayaan dalam pengurusan bersama kawasan perlindungan, atau keperluan untuk mencari mata pencarian alternatif jika perlu.
Langkah pencegahan kukuh akan melibatkan penambahbaikan dalam usaha penguatkuasaan undang-undang seperti peningkatan bilangan anggota renjer peronda, keupayaan mereka, dan kekerapan/kawasan liputan rondaan yang dipacu oleh risikan menggunakan teknologi terkini.
Pendekatan pelbagai perlu diambil untuk menangani masalah ini dengan lebih berkesan dalam jangka panjang, katanya.
Selain itu, bagi memulihkan populasi harimau, adalah penting untuk membangunkan strategi yang tertumpu pada meningkatkan populasi mangsa harimau di habitat liar.
Mark Rayan berkata ini boleh dilakukan melalui gabungan penambahbaikan dalam ketersediaan makanan di habitat untuk mangsa, dan menjadikan usaha pembiakan dalam kurungan rusa Sambar suatu kerjaya professional. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kepadatan populasi mangsa harimau di habitat liar.
"Untuk menyelamatkan populasi harimau, adalah penting untuk melindungi habitat mereka daripada hilang atau rosak akibat aktiviti seperti pertanian, perlombongan, perladangan monokultur berskala besar dan pembangunan infrastruktur.
“Menghentikan pemburuan haram juga penting, tetapi pemuliharaan harimau sangat bergantung pada pemuliharaan mangsa mereka. Semua usaha ini memang memerkukan dana yang cukup,” jelasnya.
Mark Rayan berharap inisiatif sedia ada yang telah atau sedang dirancang kerajaan dapat diselaras dan dioptimumkan, demi perlindungan biodiversiti serta penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim.
Harapan masa depan
Beliau menekankan peranan kritikal Pasukan Petugas Kebangsaan Harimau Malaya.
“Saya tertarik untuk melihat kaedah yang bakal digunakan pasukan ini untuk mengutamakan usaha membawa masuk pembiayaan karbon – atau cara pembiayaan lain – bagi membantu melindungi habitat harimau Malaya daripada terus terdegradasi atau ditukar kepada kegunaan tanah lain,” katanya.
Juga penting ialah usaha mengintegrasikan usaha ini dengan Pelan Induk Tunjang Hutan Pusat, yang disokong oleh EFT dan Sukuk Biodiversiti.
“Semua usaha ini boleh dimaksimumkan untuk melindungi, memulihkan, dan menghubungkan habitat harimau, yang seterusnya memanfaatkan biodiversiti Malaysia,” tambahnya.
Di lapangan, beliau menekankan peranan penting Orang Asli dalam melindungi kawasan hidupan liar.
“Sudah tiba masanya kita mengakui bahawa Orang Asli adalah sekutu terhebat kita dalam perlindungan kawasan hidupan liar,” katanya.
Beliau juga menggesa agar program renjer komuniti diinstitusikan serta mencadangkan agar pengambilan renjer Orang Asli melalui kontrak dijadikan jawatan tetap supaya tidak lagi bergantung kepada peruntukan bajet tahunan.
“Di samping itu, saya menjangkakan inisiatif baru seperti Biro Jenayah Hidupan Liar akan menyokong Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk melawan pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar haram, khususnya yang merentasi sempadan antarabangsa.
“Saya juga berharap usaha ini akan berkembang secara positif dalam melindungi biodiversiti kita.”
- Bernama (Diterjemah oleh Sakina Mohamed