Kapal Diraja (KD) Pendekar milik TLDM yang bocor selepas terlanggar objek dalam laut tengah hari tadi di Laut China Selatan, dua batu nautika tenggara Tanjung Penyusop di Johor, telah tenggelam sepenuhnya.
Dalam kenyataan terbaru yang dikeluarkan jam lapan malam tadi, markas tentera laut berkata KD Pendekar tenggelam sepenuhnya pada jam 3.54 petang tadi.
“Usaha menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, KD Pendekar dilaporkan separuh tenggelam selepas air mula memasuki bilik jentera yang bocor akibat pelanggaran itu.
“Kebocoran yang mula dikesan di bilik jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
“Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.
“Fokus utama TLDM sekarang adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal,” kata markas tentera laut dalam kenyataan petang tadi.
Kapal itu membawa 39 anak kapal yang kesemuanya berjaya diselamatkan.
“Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismail di Tanjung Pengelih, Johor.
Markas tentera laut berkata lembaga siasatan khas akan segera ditubuhkan untuk menyiasat punca pelanggaran berlaku.
“TLDM merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden ini iaitu Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran,” katanya lagi.