ADS
mk-logo
Berita
Lelaki 21 tahun suspek culik gadis 16 tahun ditembak mati
Diterbitkan:  Apr 14, 2025 9:59 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

Polis pagi tadi menembak mati seorang lelaki berumur 21 tahun yang disyaki bertanggungjawab menculik seorang gadis berusia 16 tahun di Seremban minggu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Fadil Marsus berkata pihaknya turut menahan beberapa lagi suspek dalam siri serbuan susulan kejadian berbalas tembak di Bukit Tinggi, Klang.

Penculik itu dilaporkan meminta wang tebusan RM2 juta selepas mereka menculik remaja itu. Dia dibebaskan selepas keluarga dilaporkan membayar RM280,000 ribu dan memberikan beberapa barang kemas kepada penculik.

Difahamkan, polis turut berjaya mendapatkan semula sebahagian wang tebusan yang dibayar oleh keluarga mangsa, tetapi Fadil berkata butiran lanjut akan dikeluarkan semasa sidang media oleh pihak atasannya tidak lama lagi.

Mengenai kejadian berbalas tembak, dia berkata sepasukan polis cuba menahan suspek yang memandu Proton Wira sebelum kejar mengejar berlaku.

ADS

“Suspek memandu melawan arus lalu lintas untuk mengelak ditahan sebelum berlaku kejar mengejar.

“Kejar-mengejar itu berakhir apabila keretanya melanggar kenderaan polis dan kita pintas. Kemudian berlaku tembak-menembak sebelum polis menembak mati.

"Setakat ini, kami menemui sepucuk pistol dan sebilah parang di dalam kereta. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu masih belum dilakukan kerana kami menunggu unit forensik," kata Fadil kepada pemberita di tempat kejadian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS