Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi, muncul sebagai satu-satunya wakil rakyat PKR di Selangor yang berjaya menewaskan penyandang dalam perebutan jawatan ketua cabang sempena pemilihan parti hujung minggu lalu.

Najwan, yang sebelum ini merupakan timbalan ketua cabang Shah Alam, mengetepikan penyandang jawatan, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail serta seorang lagi pencabar, Noryzal Zainal Abidin.

“Kemenangan dengan majoriti besar ini adalah petanda akar umbi Shah Alam inginkan perubahan dan kepimpinan yang lebih muda, lebih dinamik dan berkesan,” katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun tewas di Shah Alam, Rodziah masih meneruskan cabaran politiknya dengan bertanding bagi jawatan Ketua Wanita PKR, menentang penyandang merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Najwan (gambar atas) memperoleh 1,213 undi, jauh mengatasi Rodziah (899 undi) dan Noryzal (513 undi) daripada 2,637 kertas undi yang dikeluarkan. Cabang Shah Alam kini mempunyai 3,307 ahli berdaftar.

Walaupun Najwan menang, beliau mengakui ramai calon pasukannya tewas kepada kem Rodziah.

Namun antara calon yang berjaya termasuk Adun Kota Damansara, Izuan Ahmad Kasim, yang menewaskan dua pencabar untuk jawatan ketua Pemuda PKR Shah Alam.

Penyandang kukuh di beberapa cabang

Empat lagi Adun Selangor berjaya mengekalkan jawatan ketua cabang masing-masing:

  • Borhan Aman Shah (Adun Tanjung Sepat – Sepang)

  • Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad @ Altimet (Adun Lembah Jaya – Ampang)

  • Gunarajah George (Adun Sentosa – Kapar)

  • Azmizam Zamanhuri (Adun Pelabuhan Klang – Klang)

Di Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad (Altimet) menewaskan dua pencabar termasuk Adun Bukit Antarabangsa, Kamri Kamaruddin, serta ahli ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Sementara itu di Selayang, Adun Rawang, Chua Wei Kiat, gagal dalam percubaan merebut jawatan Ketua Cabang yang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Chua memperoleh 1,648 undi, tewas kepada Kamarudin Hussain yang mendapat 2,041 undi manakala pencabar ketiga, Wan Ibnul Bahar Wan Ismail, hanya memperoleh 28 undi.

Rafizi dan Amirudin kekal, Lee kecundang

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula mengekalkan jawatan ketua Cabang PKR Pandan setelah menewaskan Shahrom Musa.

Namun di Petaling Jaya, Ahli Parlimen Lee Chean Chung tewas kepada penyandang, bekas ahli parlimen PJ Selatan Hee Loy Sian, yang mempertahankan kedudukannya sebagai ketua cabang.

Menteri Besar Selangor, merangkap pengerusi PKR negeri, Amirudin Shari, kekal sebagai Ketua Cabang Gombak tanpa sebarang pertandingan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan turut mengesahkan kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Sungai Buloh.

Pengundian di Selangor semalam melibatkan 22 cabang di Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Tanjong Karang, Selayang, Gombak, Pandan, Ampang, Hulu Langat, Bangi, Puchong, Petaling Jaya, Sungai Buloh, Shah Alam, Subang, Kapar, Klang, Kota Raja, Kuala Langat, Sepang dan Damansara, dengan 92,619 pengundi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS