Perikatan Nasional (PN) Pahang menggesa DAP supaya meninggalkan Kerajaan Perpaduan negeri sekiranya parti itu berhasrat untuk terus berkonfrontasi dengan tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan.
Gesaan itu disuarakan oleh Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah, susulan tindakan berterusan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang membela pekebun haram durian di tanah kerajaan negeri di Raub.
"Sikap ini menunjukkan wakil rakyat dan pimpinan DAP bersikap songsang dan mengelirukan rakyat... songsang ini kerana mereka secara jelas bersama dengan pihak yang melanggar undang-undang.
"Manakala mereka mengelirukan rakyat kerana kita tertanya-tanya, apa sebenarnya yang DAP nak buat di Pahang ini... nak memperjuangkan hak rakyat atau membela mereka yang tidak patuh kepada undang-undang," kata Saifuddin yang juga ahli parlimen Indera Mahkota.

Dia berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN dan PAS Indera Mahkota yang diadakan di Beserah, hari ini.
Turut hadir, Adun Beserah merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu yang senada dengan Saifuddin dalam mengkritik Chow.
"Perkara ini memang menghairankan kami... kalau dia rasa nak lawan kerajaan, keluarlah kerajaan dan memang kita alu-alukan DAP keluar daripada kerajaan Pahang.
"Sepatutnya, dia sebagai ahli parlimen faham bahawa tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas adalah kesalahan yang besar dan tidak boleh ditutup atau dibiarkan sahaja," kata Andansura.

Pemimpin PAS itu turut menyeru agar tindakan tegas diambil terhadap Chow memandangkan beberapa laporan polis telah dibuat, selepas insiden Chow bersama pekebun didakwa menceroboh cuba menghalang penguat kuasa daripada menebang pokok durian di Raub.
NGO kumpul tandatangan bantah penebangan
Jumaat lalu, NGO Save Musang King Alliance (Samka) — yang diketuai Chow selaku penasihat — berjaya mengumpulkan sekitar 400 tandatangan dalam tempoh kurang tiga jam, sebagai tanda sokongan kepada petisyen mendesak agar operasi penebangan pokok durian oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dihentikan.
Petisyen itu dibuat sehari selepas berlaku ketegangan antara pekebun durian dan anggota UPNP di kawasan pertikaian berhampiran Sungai Klau, Raub, ketika penguat kuasa menjalankan operasi menebang pokok Musang King.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Raub mengesahkan menerima tiga laporan polis berhubung insiden itu, yang difailkan oleh pegawai UPNP, pihak polis sendiri dan sebuah NGO.
Sebelum ini, media melaporkan pekebun terbabit bertindak membawa kain rentang dan menghalang laluan, sebagai protes terhadap tindakan penguat kuasa yang memusnahkan tanaman durian mereka yang didakwa telah ditanam sejak puluhan tahun lalu.
Susulan kritikan pelbagai pihak, Kerajaan Pahang menafikan dakwaan operasi penguatkuasaan pada 8 April lalu telah melanggar perintah mahkamah, meskipun kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi itu.