Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johari dah terima notis dari Bersatu, ada 21 hari untuk kaji

PARLIMEN | Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, hari ini mengesahkan sudah menerima notis mengenai kekosongan kerusi enam ahli parlimen Bersatu.

Bercakap kepada media, Johari berkata, keputusan mengenai kedudukan enam ahli parlimen terbabit - yang terhenti keahlian mereka melalui pindaan perlembagaan oleh Bersatu - akan dimaklukan dalam tempoh 21 hari.

“Saya baru dapat surat daripada MP Beluran (Ronald Kiandee) pasa Jumaat lalu.

“Mengikut undang-undang, saya ada 21 hari untuk mengkaji.

"Insya-Allah apabila saya dapat semua jawapan, saya akan maklumkan kepasa media. Mohon bersabar, saya akan maklumkan nanti,” katanya.

Untuk rekod Ronald merupakan ketua whip bagi ahli parlimen Bersatu.

Johari ditemui media selepas merasmikan pameran seni sempena ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik Malaysia- Romania di bangunan Parlimen.

Khamis lalu, Ronald yang juga salah seorang naib presiden Bersatu dilapor mengemukakan notis kepada Johari bagi meminta supaya enam kerusi parlimen disandang wakil rakyat parti terbabit dikosongkan.

Enam kerusi tersebut ialah Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal) Labuan (Suhaili Abdul Rahman), Jeli (Zahari Kechik), Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim), Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid) dan Tanjong Karang (Zulkafperi Hanapi).

'Kekosongan' itu berlaku apabila keahlian mereka digugurkan serta-merta oleh Bersatu atas alasan gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis parti bagi menzahirkan ikrar taat setia.

Bersatu sebelum ini mengeluarkan surat arahan kepada semua wakil rakyatnya selaras dengan pindaan ke atas fasal 10 dalam Perlembagaan mereka.

Pindaan tersebut sudahpun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pada 1 Jun lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata 25 ahli parlimen dan 58 Adun mereka menandatangani surat tersebut.

Minggu lalu pula Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah menerima notis berkenaan dan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Untuk rekod, DUN Nenggiri juga diwakili Mohd Azizi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS