Pengarah Urusan Khazanah Amirul Feisal Wan Zahir menepis kebimbangan bahawa rancangan syarikat itu untuk mengambil alih Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) akan menyebabkan syarikat pro-Zionis menjadi pemilik benefisiari bersama.
Amirul Feisal berkata setakat ini, pengambilalihan Blackrock terhadap Global Infrastructure Partners (GIP) masih belum dimuktamadkan.
"Pada pengetahuan saya, perjanjian mereka masih belum dimuktamadkan," katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Blackrock pada Januari mengumumkan bahawa ia akan memperoleh GIP sepenuhnya, dengan perjanjian itu dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini, bermakna antara Julai dan September.
Blackrock ialah pengurus aset terbesar di dunia - yang mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan melabur banyak dalam pengeluar senjata yang menyediakan senjata kepada rejim zionis.
Dua minggu lalu, sebuah konsortium terdiri daripada Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), GIP, dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (Adia) mengumumkan tawaran untuk mengambil alih saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Khazanah dan KWSP.
GIP dan Adia akan menyertai konsortium di bawah usaha sama, GIP Aurea.
Sekiranya perjanjian itu diteruskan, Khazanah dan KWSP akan menguasai 70 peratus MAHB, manakala GIP Aurea akan memegang 30 peratus lagi.
Memandangkan GIP memiliki 83.3 peratus daripada GIP Aurea, kepentingan berkesannya dalam MAHB ialah 25 peratus, seperti dilapor The Edge.
Cadangan itu telah mencetuskan kritikan bahawa syarikat yang dimiliki secara berkesan oleh syarikat pro-Zionis akan mempunyai kepentingan yang besar dalam aset Malaysia, yang bercanggah dengan pendirian Malaysia terhadap Israel.
Amirul Feisal bagaimanapun menegaskan Blackrock bukan sebahagian daripada konsortiumnya.
“Mengenai Mengenai Gateway Development Alliance, kami ingin menjelaskan bahawa rakan kongsi konsortium langsung kami ialah Adia dan GIP, bukannya BlackRock,” katanya.
Mengulas lanjut mengapa GIP dipilih sebagai rakan kongsi ketua pegawai eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata GIP boleh membawa penambahbaikan besar kepada lapangan terbang MAHB.
"Kami yakin bahawa GIP berupaya mengetengahkan idea dan strategi yang inovatif untuk meningkatkan pengalaman para penumpang.
"Ini termasuk peningkatan aliran penumpang, tawaran makanan dan minuman yang dipertingkatkan serta kawalan keselamatan dan imigresen yang lebih cekap.
"GIP telah berjaya memenuhi aspek-aspek ini," katanya.
GIP menguruskan Lapangan Terbang Sydney di Australia dan Lapangan Terbang Gatwick di London, yang telah disenaraikan antara lapangan terbang terburuk di dunia.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!