Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Buka jalan baru bukan penyelesaian kesesakan trafik'

Pembinaan jalan baru merentasi Hutan Komuniti Shah Alam sepanjang satu kilometer disifatkan bukan jalan penyelesaian kepada kesesakan trafik, malah menambah masalah sedia ada dan mengancam flora dan fauna.

Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) menyeru kerajaan Selangor berhenti gadaikan alam sekitar yang bernilai atas tujuan pembinaan jalan alternatif baru, menghubungkan Bandar Nusa Rhu dan Setia Eco Park yang hanya menjimatkan masa beberapa minit.

Setiausaha SACF, Alicia Teoh menyatakan banyak tindakan telah diambil bagi memastikan projek tersebut dihentikan bagi menjaga alam sekitar namun tidak mendapat maklum balas.

“Kami sudah berhubung dengan pelbagai pihak terutamanya kerajaan Selangor namun tiada tindakan diambil.

“Mereka malah menolak untuk berurusan dengan kami,” katanya ketika ditemui di kempen Rantai Manusia di Hutan Komuniti Shah Alam.

Teoh mendakwa pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum ini pernah membuat tinjauan maklum balas orang awam berkenaan pembinaan jalan tersebut pada Ogos 2022.

Menurutnya, projek tersebut ditolak oleh ramai orang namun tiada sebarang jawapan diberikan oleh pihak berkenaan.

“MBSA ada membuat tinjauan pada Ogos 2020 untuk mendapatkan pandangan orang awam mengenai projek berkenaan dan ramai telah menjawabnya, namun tiada maklum balas,” katanya.

Wakil SACF, Vijayan Supramaniam menyatakan jalan raya yang sedia ada sudah memadai dan pengguna jalan raya tidak mempertimbangkan pembinaan jalan baru.

“Kenapa perlu jalan baru kerana bukan jauh (jalan sedia ada) sangat pun, hanya memakan masa antara dua hingga tiga minit sahaja.

“Kita perlu melihat sama ada sesuatu itu betul-betul diperlukan atau tidak,” katanya.

Kempen Rantai Manusia yang dianjurkan SACF diadakan bagi menyeru pihak berkuasa untuk memelihara khazanah alam daripada digondol demi pembangunan.

Ia dihadiri seramai lebih 200 orang terdiri daripada ahli persatuan, penduduk dan penggemar aktiviti pendakian.

SACF menyorot bahawa Hutan Komuniti Shah Alam seluas 430 ekar merupakan ekologi penting yang mempunyai lebih 350 spesies tumbuhan dan haiwan termasuk tapir yang diancam kepupusan.

Selain itu, kata mereka, ia juga merupakan tumpuan bagi rakyat yang gemar melakukan aktiviti rekreasi seperti mendaki untuk mengurangkan tekanan.

Vijayan berkata Hutan Komuniti Shah Alam mempunyai kepentingannya yang tersendiri selain menjadi tempat tinggal kepada beberapa spesis yang jarang ditemui.

“Hutan ini memberi peluang kepada penduduk bandar lari dari hiruk-pikuk kemajuan untuk menikmati keindahan alam.

“Dalam hutan ini juga terdapat haiwan terancam iaitu tapir dan cendawan biru,” katanya.

Teoh pula menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

“Pentingkan apa yang diperlukan oleh rakyat terlebih dahulu sebelum memihak kepada pemaju,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS