ADS
mk-logo
Berita
Tampar bukan Muslim: Usah biarkan berkembang, kata menteri
Diterbitkan:  Mar 17, 2025 12:34 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Seorang lelaki bukan Muslim yang ditampar seorang warga emas ketika sedang makan di khalayak ramai semalam telah membuat laporan polis terhadap pelakunya, kata Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.

Kata Aaron, mangsa yang dikenali sebagai Elijah di platform X membuat laporan di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru.

“Saya hanya makan macam biasa dan pak cik itu tanya saya, orang Cina ke tak. Saya jawab ya, sebab itu soalan biasa.

“Lepas tu dia nak saya tunjukkan IC (kad pengenalan) saya walaupun kita tak boleh tunjuk IC kepada orang yang tidak dikenali.

ADS

“Selepas itu dia tanya kalau saya Islam atau bukan Islam, dan marah kenapa makan pada masa puasa ini, walaupun saya bukan Islam dan saya tidak ada ganggu dia.

“Dia boleh sampai tampar saya beberapa kali pula," kata Elijah yang berkongsi dua video pendek kejadian yang berlaku di dalam pusat beli-belah di Johor Bahru itu di platform X.

Bagaimanapun, Elijah berkata dia bersyukur kerana anak lelaki warga emas terbabit telah bertindak mengawal keadaan dan memohon maaf kepadanya.

Namun, menurut Elijah, dia tidak boleh membiarkan insiden berkenaan berlalu begitu saja.

ADS

Mengulas kejadian berkenaan, Aaron berkata, dia telah dimaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat mengikut bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kata Aaron insiden yang telah berlaku itu merupakan satu provokasi.

“Tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.

“Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi, dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.

Justeru Ahli Parlimen Kanowit itu berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.

Dia juga menggesa supaya semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi dan sentiasa saling menghormati budaya dan mengamalkan nilai faham, hormat dan terima.

“Isu-isu yang menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh. Kita tidak boleh membiarkan sebarang insiden yang boleh meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia.

“Negara ini hanya akan maju jika kita bersatu, saling menghormati, dan hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama,” katanya.

Dalam catatan lain di X hari ini, Elijah turut mengucapkan terima kasih kepada Aaron atas kenyataannya dan mengulangi harapannya agar keharmonian di negara ini terus terpelihara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS