Menteri Besar Perlis Shukri Ramli akan menjelaskan isu berkaitan penahanan anaknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
“Esok saya jawab dalam dewan.
“Setakat itu sajalah (komen saya),” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar hari ini.
Baca: SPRM cekup anak MB Perlis
Sidang DUN Perlis bermula semalam melibatkan istiadat perasmian dan persidangan penggal kedua, tanpa fokus kepada sebarang rang undang-undang khusus.
Semalam, SPRM menahan anak Shukri, pegawai kanan pejabatnya dan lima orang lagi susulan siasatan itu.
Memetik sumber, BH melaporkan siasatan dipercayai menjurus kepada tuntutan palsu terhadap projek baik pulih, penyelenggaraan dan pembangunan kemudahan asas seluruh Perlis yang tidak dijalankan.
Suspek-supek dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis.
Serah pada SPRM
Sementara itu, Shukri juga berkata enggan mengulas lanjut atau masuk campur dalam siasatan itu.
“Saya tak mau komen.
“Saya serah pada budi bicara SPRM. Terima kasih,” kata pemimpin PAS itu.