Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan anak menteri besar Perlis Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Anak pemimpin PAS itu ditahan bersama enam orang lagi, termasuk pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis, lapor BH yang memetik sumber.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Kangar pagi tadi, kira-kira 24 jam selepas ditahan.
"Siasatan dipercayai juga menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.
"Suspek yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis," katanya.
Sumber juga berkata suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun dikehendaki membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan kemudahan asas.
Ia melibatkan kerja-kerja baik-pulih, penyelenggaraan serta perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama-nama mereka selagi tidak dituduh di mahkamah.
Siasatan dibuat bawah Seksyen 18 Akta SPRM.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan tetapi tidak mengulas lanjut.