PAS hari ini memberi amaran kepada Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao Malaysia (MCCBCHST) agar tidak campur tangan dalam hal ehwal Islam.
Ini susulan penentangan majlis itu terhadap pindaan yang dicadangkan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mempersoalkan jika majlis antara agama itu cuba untuk menjadi 'penyibuk' dengan mengulas tentang perkara yang tidak membabitkan orang bukan Islam sama sekali.
"PAS mendapati kenyataan MCCBCHST bahawa cadangan pindaan Akta 355 itu tidak berperlembagaan, bermasalah dalam banyak segi.
"Pertama, sebagai pertubuhan yang bertujuan mewujudkan persefahaman, sikap saling hormat-menghormati dan kerjasama antara penganut pelbagai agama di negara ini, MCCBCHSTsepatutnya tidak mencampuri atau dilihat cuba untuk mencampuri hal-ehwal dalam agama Islam," kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.
"Perlu diingat bahawa hak dan kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan bagi agama-agama di Malaysia turut meliputi agama Islam dan perlu dipatuhi serta dihormati oleh semua pihak dan golongan," kata ahli parlimen Kota Bharu itu.
Takiyuddin mengulas kenyataan majlis antara agama itu yang mendakwa bahawa cadangan pindaan kepada Akta 355, termasuk untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah, akan menjadi tidak berperlembagaan kerana undang-undang jenayah sedia ada telah disenaraikan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan minggu lalu, MCCBCHST berkata perluasan kuasa menjatuhkan hukuman yang diberikan kepada Mahkamah Syariah akan membolehkan kesalahan berkaitan Hudud - seperti mencuri, pencurian, zina, liwat, dan pengambilan minuman keras - untuk diadili di bawah undang-undang jenayah Islam.
Namun, kesalahan-kesalahan tersebut sudah pun termaktub dalam Senarai I (Senarai Persekutuan), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, menurut pendapat kumpulan tersebut, kuasa tambahan ini akan dianggap tidak sah.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata MCCBCHST gagal menunjukkan bagaimana cadangan pindaan kepada Akta 355 itu akan memberi impak kepada orang bukan Islam di negara ini.
"Apakah MCCBCHST mahu menjadi 'penyibuk' atau 'hantu orang tengah' (ghost intermeddlers) sebagaimana yang pernah dinyatakan dalam beberapa penghakiman di Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkaitan isu yang sama kerana ia akan hanya menimbulkan kecurigaan yang mendalam terhadap niat dan motif sebenar majlis itu sendiri.
"Mahu tidak mahu, motif dan agenda sebenar majlis berkenaan terus menjadi persoalan, sekali gus berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam konteks hubungan antara kaum dan agama," kata Takiyuddin.
Dia turut menyatakan rasa ralat yang mendalam dengan kenyataan MCCBCHST yang dibuat pada 10 hari terakhir Ramadan, yang mana merupakan tempoh penting bagi umat Islam untuk meningkatkan amal kebajikan dan ibadah mereka.
"Sayangnya, tempoh itu secara sengaja dipilih untuk mencampakkan bantahan dan polemik dalam kalangan masyarakat Islam.
"Bagi PAS, ini bukan sahaja tindakan yang keterlaluan dan provokatif, tetapi boleh dilihat sebagai perbuatan mencetuskan permusuhan dan tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang menjunjung cita-cita kerukunan dan perpaduan rakyatnya.
"Akhir kata, PAS menggesa Putrajaya supaya segera memberikan maklum balas terhadap kenyataan MCCBCHST dan mengambil tindakan sewajarnya (terhadap majlis itu) dengan kadar segera," katanya lagi.