ADS
mk-logo
Berita

Harga ayam dibimbangi naik susulan berakhirnya subsidi kerajaan dan harga komoditi itu mula diapungan kelmarin.

Bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku apabila rata-rata harga ayam di seluruh Malaysia turun bawah harga siling RM9.40 untuk satu kilogram (kg) sebelum ini.

Keadaan itu menimbulkan persoalan bagaimana perkara tersebut boleh berlaku.

Ditanya Malaysiakini berkaitan perkara itu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjawab dengan persoalan lain:

ADS

“Kenapa tak boleh?” soal penasihat persekutuan itu Jeffrey Ng.

Menegaskan penentuan harga berdasarkan hukum ekonomi yang berkaitan penawaran dan permintaan, Ng berkata, bekalan ayam sebenarnya sentiasa cukup.

Cuma, katanya, berlaku permintaan tinggi dalam “tempoh singkat” khususnya ketika musim perayaan.

“Kita dah lupa, sebelum ini kadang-kadang kita beli ayam murah dan kadang-kadang mahal tetapi itu adalah fenomena pasaran terbuka.

ADS

“(Harga) kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun,” katanya.

Untuk harga lebih menarik

Kerajaan pada 31 Okt lepas - sehari sebelum subsidi ditamatkan dan harga diapungkan - juga berkata harga ayam boleh didapati dengan lebih rendah berbanding harga siling RM9.40 per kg.

Pemangku menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Armizan Mohd Ali berkata pemain industri memberi jaminan kepada kerajaan bahawa harga ayam tidak akan naik mendadak mulai 1 Nov.

Kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula kelmarin, tetapi masih melanjutkan subsidi dan harga kawalan bagi telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.

Penamatan subsidi pukal itu bertujuan mengurangkan ketirisan yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat perubahan pada permintaan dan penawaran ayam bulat mulai kelmarin, Ng berkata tiada.

“Kita cuma nak bagi pengguna beli ayam murah dan sekarang kita tawar (dengan harga murah) supaya orang ramai dapat makan ayam dengan harga yang lebih menarik sedikit,” katanya.

ADS

Mengulas kebimbangan pengguna, Ng berkata, mereka menjadi takut kerana tidak biasa dengan harga apungan.

“Bagi saya, kita tak pernah ada masalah dengan harga apungan. Kenapa hari ini kita ada masalah dengan harga apungan ini?

“Itu satu persoalan yang kita kena tanya,” katanya.

Tambah Ng pengapungan juga mewujudkan persaingan harga yang sihat.

“Pasar raya semua lawan harga. Mydin tawar RM7 bagi sekilo ayam dan Lotus’s RM7.50.

“Sebagai pengguna ini yang dimahukan supaya kita dapat tawaran yang lebih baik berbanding hanya satu harga saja iaitu harga siling terhad sebab semua orang tahu hanya ada satu harga.

“Harga apungan ini memberi lebih banyak peluang perniagaan yang lebih besar dan tawaran yang lebih baik kepada pembeli,” katanya.

Ng turut mengakui secara teori apungan akan membuatkan harga satu-satu barang naik.

Bagaimanapun, katanya, tetapi daripada segi fakta ia tidak semestinya begitu.

“Jadi, kita nak ikut teori atau fakta?

“Untuk saya, kita ikut fakta saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS