Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tak terlibat isu sokongan MP Bersatu terhadap PM - Azam
Diterbitkan:  Oct 15, 2023 11:57 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan agensi itu terlibat dalam tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata dakwaan bahawa pihaknya cuba menakut-nakutkan ahli parlimen PN itu supaya menyokong kerajaan bertujuan untuk mencemarkan nama baik agensi itu.

“Kenyataan ketua pembangkang yang mendakwa kita terlibat dalam keputusan MP (Kuala Kangsar) adalah berniat jahat dan cuba memburukkan imej SPRM.

“Hakikatnya, kami tidak ada kena mengena dengan kenyataan yang dibuatnya,” kata Azam Baki, seperti dilaporkan The Star hari ini.

Azam berkata demikian susulan dakwaan Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin bahawa SPRM mengugut Iskandar supaya menyokong Anwar atau menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah.

“Pada 1 Oktober lalu, ahli Parlimen Kuala Kangsar dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi SPRM di sebuah lokasi hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan,” dakwa Hamzah.

Pemimpin Bersatu itu juga mendakwa kerajaan pada mulanya cuba merasuah Iskandar semasa satu perjumpaan di sebuah lokasi di Damansara pada 26 September.

Dakwa Hamzah, ahli parlimen berkenaan didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan perdana menteri.

Malaysiakini telah cuba mengubungi Iskandar beberapa kali, namun ahli parlimen berkenaan tetap mengunci mulut berhubung dakwaan Hamzah.

Sebelum ini Kerajaan Perpaduan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila Presiden Muda yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik balik sokongan terhadap gabungan parti kerajaan.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar menyatakan sokongan kepada Anwar, dengan membangkitkan kebimbangan mengenai isu kos sara hidup di kawasan parlimennya.

Dia berkata, keputusannya itu juga bertujuan untuk menilai sama ada perdana menteri ikhlas mengotakan janji bagi memberi peruntukan kepada ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS