ULASAN | Sekumpulan wartawan dan pemerhati pada Selasa (29 Ogos) mengeluarkan kenyataan bersama mengkritik SKMM dan menyifatkan suruhanjaya itu berkelakuan seperti 'abang besar'.
Ia mengenai kawalan yang keterlaluan ke atas pihak media ekoran sekatan yang dikenakan terhadap tiga laman sesawang portal berikutan kandungan penyiarannya yang dianggap sensitif atau kritikal terhadap kerajaan adalah suatu penegasan supaya kerajaan tidak melanggari garisan merah kebebasan media di negara ini.
Pada 18 Ogos, dilaporkan SKMM telah menyekat akses pengguna Internet di negara ini terhadap sebuah portal berita, TV Pertiwi yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu Islam dan LGBT, berikutan dakwaan yang mengatakan portal tersebut terlibat dalam penyebaran berita palsu.
SKMM juga menyekat akses ke atas laman sesawang Malaysia Today yang dikendalikan oleh pengkritik kerajaan Raja Petra Kamarudin, serta sebuah blog yang dikendalikan oleh bekas ahli parlimen DAP Wee Choo Keong.
Sementara itu, pada awal Ogos portal UtusanTV tidak dapat diakses oleh orang awam dengan notis “laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara.”
Namun sekatan itu telah ditarik balik.
Sebelum itu, portal MalaysiaNow yang dikatakan propembangkang turut disekat selama 48 jam pada Jun, menurut media tersebut.
Terbaru, TV AlHijrah, sebuah saluran penyiaran Islam kerajaan turut mendapat perhatian kerana menyiarkan semula rancangan realiti dari awal 2022 yang memaparkan kehadiran seorang pemimpin PAS yang pernah menjadi menteri hal ehwal Islam.
Pada sambutan Hari Kebangsaan ini, ia seolah-olah membayangkan bahawa kemerdekaan negara tidak harus melupakan kebebasan akhbar atau media.
Isu kebebasan media sering diperkatakan semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional. Pemilikan berpusat media arus perdana bukan sahaja mengancam kebebasan berita malah menipiskan peluang masyarakat untuk memperoleh maklumat berlainan.
Tidak cukup dengan kawalan serta pemilikan media, kerajaan BN meneruskan legasi penjajah British dengan mengawal media melalui undang-undang mengekang kebebasan media.
Undang-undang kawalan media digunakan kerajaan BN apabila dirasakan perlu bagi menyekat kritikan ke atas pemimpin-pemimpin kerajaan yang dianggap oleh kerajaan sebagai menjejaskan keselamatan negara.
Tentunya tokoh—tokoh kumpulan wartawan yang mengkritik 'abang besar' SKMM ini lebih arif sejauhmanakah kerajaan semasa itu mengamalkan kebebasan akhbar kerana kalangan mereka pernah mengemudikan kumpulan media prokerajaan tersebut.
Pernahkah mereka menyuarakan isu kebebasan akhbar apabila pejabat Malaysiakini dan Harakah digeledah suatu ketika dahulu? Tidakkah ini suatu intimidasi dan gangguan terhadap kebebasan media di negara ini pada masa itu?
Malaysiakini dan akhbar Harakah (Semasa PAS di zaman Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz) pernah diserbu pihak polis di mana akhbar dan komputernya dirampas. Banyak isu yang melibatkan kebebasan akhbar dalam kaitan dengan penerbitan akhbar pembangkang.
Beberapa editor di media propembangkang tersebut sering dipanggil untuk disoal saisat oleh pihak polis.
Pernah pejabat media prokerajaan diserbu dan komputernya diambil?
Mengapakah editor-editor tersebut tidak menunjukkan keberanian mereka semasa itu? Atau mungkin kerana mereka menjadi editor-editor besar di media-media prokerajaan.
Di manakah mereka semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh atau didakwa atas pertuduhan sodomi? Adakah kebebasan akhbar dipelihara?
Tidakkah beberapa tokoh wartawan tersebut mengepalai media-media arus perdana itu semasa Anwar ditahan?
Jika diteliti wartawan-wartawan pengkritik 'abang besar' itu yang diumumkan sebagai tokoh wartawan negara kebanyakan atau hampir kesemua datang daripada media prokerajaan.
Panel tentunya tidak menamakan pejuang wartawan bebas akhbar pembangkang seperti Allahyarman Ahmad Lutfi Osman, Steven Gan, Allahyarham Subki Latif sebagai tokoh wartawan di mana mereka dianggap sebagai wartawan kecil tetapi berjiwa besar.
Terdapat juga pejuang-pejuang kewartawan bebas daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang telah lama memperjuangkan nasib pengguna dan pencemaran alam sekitar di negara ini sebelum adanya kementerian pengguna dan alam sekitar pun.
CAP adalah pertubuhan yang tidak berkaitan dengan parti politik.
Nama-nama seperti Allahyarham SM Mohd Idris dan mendiang Martin Khor Kok Peng aialah dua nama besar dalam kewartawan kepenggunaan dan alam sekitar di negara.
Mereka ini adalah pejuang kewartawan rakyat yang tulisan artikel dan kolum mereka sentiasa memperkatakan isu nasib pengguna ditindas dan mangsa rakyat akibat pencemaran alam sekitar. Mereka adalah tokoh wartawan negara tidak diendah dan dipinggirkan.
Berikutan segala bentuk sekatan yang ada, pada akhir alaf lama, terutamanya sewaktu reformasi 1998 – pemecatan, penahanan dan pemenjaraan Anwar – telah muncul laman-laman web, blog dan portal berita yang menawarkan alternatif kepada media kawalan kerajaan.
Dari situ lahirnya portal berita Malaysiakini dan beberapa laman web yang menyiarkan tulisan alternatif yang sebelum ini dinafikan siaran di media arus perdana. Pada masa itu belum ada undang-undang mengawal ruang maya.
PAS yang semasa Anwar ditahan polis semasa di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor tentu lebih arif lagi dengan isu ini.
Adalah dirasakan semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya media lebih bebas bersuara dan Kerajaan Perpaduan yang memerintah sekarang masih dengan prinsip kebebasan akhbar.
Namun, bagaimanakah jika kebebasan yang diberikan telah disalah gunakan dan diambil kesempatan dalam menyebarkan fitnah.
Isu kaum, agama makin berkembang
Adakah pihak kerajaan perlu berdiam diri, memekakkan telinga dan membisu serta berkata biarkan ini kebebasan akhbar, kita tidak perlu berbuat apa-apa?
Bukannya tidak menyokong kebebasan akhbar tetapi media-media atas talian tidak seharusnya mengambil kesempatan menyebarkan fitnah atau berita tidak betul.
Perhatikan apa yang berlaku semasa PRU15 dan PRN baru-baru ini bagaimana ceramah atas talian di media sosial cenderung kepada ekstremisme lunak yang menyemai fahaman pelampau di negara ini.
Adakah atas kebebasan media, kerajaan atau SKMM membiarkan sahaja merebaknya segala penerbitan berunsur itnah, asakan polemik dan hasutan isu sentimen kaum dan agama semakin berkembang itu?
Perkaitan politik dalam sesebuah pemilikan media sebenarnya bukanlah satu masalah pada masa kini tetapi apa yang lebih penting adalah kandungan laporan akhbar tersebut yang bersifat tidak benar atau fitnah atau ada unsur provokasi.
Pada era media sosial perkaitan politik dalam pemilikan media atau akhbar tidak perlu lagi dipersoalkan. Teraju utama media yang membentuk ideologi dan pegangan sesebuah agensi atau syarikat media terletak pada misi dan visinya yang berbeza.
Tetapi apa yang menjadi kerisauan utama sebenarnya adalah terletak pada kandungan media itu sendiri. Selagi ia tidak berunsur fitnah, bukan berita palsu, tidak menimbulkan provokasi berkaitan isu kaum dan agama, Malaysia akan terus kekal harmoni dalam kepelbagaian perbezaan yang ada pada masyarakat majmuknya.
Kumpulan wartawan pengkritik 'abang besar' SKMM ini juga mengakui hakikat internet digunakan sebagai platform untuk mencetuskan kebencian dan penyebaran maklumat palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab, kumpulan itu juga percaya bahawa pengamal media adalah individu berdisiplin yang melaksanakan tugas berpandukan profesionalisme dan etika.
“Kami mengakui bahawa maklumat salah dan berita palsu sudah sampai pada tahap krisis.
"Bagaimanapun kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini,” kata mereka.
Pun begitu, kerajaan harus menjalankan tanggujawabnya bagi memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang pelakuan atau cubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis Malaysia, termasuklah penyebaran berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah.
‘Abang besar’ perlu jaga keharmonian
Media boleh bersifat kritikal dalam ulasan dan komen ke atas kerajaan tetapi adakah dengan menyebarkan fitnah dan menyiarkan berita tidak betul dan menyebarkan fahaman ekstremisme dianggap pandangan kritikal dan menyatakan alasan sebagai kebebasan media.
Tentulah ada sesuatu yang tidak kena dalam konsep dan prinsip kebebasan media seperti ini atau seperti difahami di Sweden di mana kebebasan media dan bersuaranya adalah hak sehingga membiarkan kitab Al Quran dibakar.
Tidakkah 'abang besar' perlu menjaga keharmonian dan kesejahteraan kerajaan apabila merasakan sesuatu kandungan ada unsur fitnah dan tidak benar adalah tidak disiarkan atas dasar kebebasan media.
SKMM dalam membidas kenyataan yang dikeluarkan kumpulan wartawan terbabit menjelaskan bahawa segala tindakan yang diambil berpandukan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat.
“Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya,” kata kenyataan komunikasi korporat suruhanjaya itu dikeluarkan pada hari yang sama dengan siaran akhbar kumpulan wartawan kanan itu.
Tulisan ini bukanlah menyokong Kerajaan Perpaduan dengan membuta tuli dan jauh sekali membodek.
Bagaimanapun, peringatan kumpulan wartawan pengkritik 'abang besar'ini amat diperlukan dari semasa ke semasa supaya kerajaan tidak terbabas atau terkeluar daripada landasan mengamalkan kebebasan akhbar.
Namun, kebebasan akhbar harus digunakan dengan penuh kearifan dan kebebasan ini tidak seharusnya diambil kesempatan bagi mengadu domba rakyat, digunakan untuk memfitnah, kebebasan memalsukan realiti.
Kita idamkan kebebasan akhbar yang mengangkat kemuliaan manusia.
ISMAIL HASHIM YAHAYA pemerhati isu-isu semasa tanah air.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.