Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Allahyarham Johari pemurah, tak sombong - Penduduk Pelangai
Diterbitkan:  Aug 18, 2023 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Sikap pemurah Ahli Dewan Undangan Negeri (AdunN) Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang suka bersedekah meninggalkan kesan amat mendalam kepada penduduk di kawasan itu.

Seorang penduduk, Mark Lai, 46, berkata Johari tidak lokek untuk membiayai rawatan bapanya yang menghidap penyakit jantung pada April lepas.

"Saya menghubungi dia (Johari) untuk meminta bantuan bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di Bentong, namun DSJo (gelaran diberi penduduk kepada arwah) beritahu saya untuk terus ke sebuah hospital swasta di Selangor.

"Pesannya, jangan risau tentang kos kerana dia akan bayar. Saya tahu bilnya sekitar RM10,000 tapi tidak pernah sekalipun dia menyebut tentang duit itu bila kami berjumpa," katanya semasa dihubungi di Kuantan hari ini.

Walaupun telah berkawan dengan Johari sejak 2001, dia tidak menyangkakan Allahyarham sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga.

Lai yang merupakan anggota bomba sukarela di Telemong berkata berkata Johari juga sering bertanyakan pasukan sukarela jika memerlukan bantuan dalam usaha memperkasakan aspek penyelamatan.

Menurut Lai, sejurus mendapat perkhabaran Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang adalah antara 10 individu terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Lebuh Raya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam semalam, dia terus bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor.

Sementara itu, penduduk Simpang Pelangai Rusniza Abu Hassan, 50, berkata Allahyarham merupakan individu yang tidak sombong dan mudah didekati walaupun merupakan figura korporat yang berjaya.

PM Anwar Ibrahim menziarahi keluarga mangsa nahas pesawat di pekarangan Hospital Ampuan Rahimah di Klang.

"Setiap kali datang (ke kawasan), arwah memang mudah berborak. Kalau terserempak di mana-mana, pasti akan mengangkat tangan.

“Bila dengar namanya dalam senarai penumpang pesawat terhempas, saya sukar hendak percaya dan menyemak pelbagai laporan (berkaitan nahas).

"Bila sudah pasti, saya segera telefon emak dan kami berdua terus menangis kerana mengingati hubungan baik Allahyarham dengan arwah bapa saya, sejak sebelum beliau menjadi Adun.

"Beliau juga tidak asing di rumah kami kerana kerap juga berkunjung bila di Pelangai," katanya.

Menerusi perbualan telefon itu, ibunya juga berkongsi cerita mengenai hasrat Johari untuk mewujudkan pusat dialisis di Pelangai, memandangkan pesakit buah pinggang perlu menempuh perjalanan jauh untuk ke Temerloh atau Bera bagi mendapatkan rawatan.

Bagi Tok Ampat Kampung Agropolitan Chemomoi, Abdul Kholid Mohd Sharif, 61, berkata walaupun baru bergelar Adun tahun lepas, Johari sebenarnya sudah lama mencurah bakti di Pelangai.

Sikap merendah diri Johari setiap kali bertemu penduduk menyebabkan dirinya mudah didekati tanpa sebarang protokol, selain sering dijemput menghadiri majlis sekitar Pelangai.

"Allahyarham pernah cerita, hidupnya susah sebelum berjaya dalam perniagaan. Dia kabor (beritahu) sejak dulu, memang telah berniat, wajib membantu orang susah kalau diberikan rezeki senang.

"Disebabkan itu, Allahyarham tidak pernah lokek dan suka bersedekah... sayang dia cepat diambil (kembali ke rahmatullah)," katanya dan menambah banyak surau dan masjid di Pelangai mengadakan majlis bacaan Yassin buat semua korban nahas pesawat itu semalam.

Abdul Kholid yang mesra dipanggil Pak Long juga berkata Johari sentiasa berada di kawasan pada hujung minggu bermula Jumaat dan mengikut jadual Allahyarham sepatutnya hadir mesyuarat koperasi hari ini, disusuli menyampaikan sumbangan di masjid dan menziarah penduduk.

Johari, 53, merupakan seorang daripada 10 terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor petang semalam.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS