Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad berharap Anwar Ibrahim merupakan perdana menteri yang terakhir sebelum baginda mengakhiri tempoh khidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Berucap di istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini, baginda sempat menyorot kemelut politik yang berlaku sepanjang pemerintahannya.

Kemelut itu, titah baginda, menyaksikan negara ini mendapat empat perdana menteri yang berbeza.

“Secara ikhlas, beta berharap perdana menteri ke-10 adalah yang terakhir buat beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri beta Pahang Darul Makmur,” titah baginda disambut dengan ketawa sebahagian daripada ahli parlimen.

“Namun ini adalah ketentuan Allah SWT. Manusia merancang, Allah tentukan segalanya," titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah juga memberitahu sepanjang tempoh menjadi Agong baginda melalui pelbagai peristiwa yang sukar untuk dilupakan.

Satu daripadanya titah baginda ialah menjadi satu-satunya Agong "yang diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri."

Untuk rekod, negara menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam satu penggal selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU ke-14.

Ia bermula dengan pelantikan pengerusi PH pada 2018, Dr Mahathir Mohamad, sebelum dia meletakkan jawatan apabila menganggap sudah tidak mendapat sokongan majoriti di parlimen kesan Langkah Sheraton pada akhir Feb 2020.

Buka ruang seluas-luasnya

Tempat Mahathir kemudian digantikan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama beberapa parti lain termasuk PAS.

Bagaimanapun Muhyiddin hanya dapat bertahan sebagai perdana menteri selama kira-kira 17 bulan apabila dia pula kehilangan sokongan majoriti dengan tindakan diambil Umno.

Seterusnya Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mendapat sokongan majoriti ahli parlimen di Dewan Rakyat untuk diangkat sebagai perdana menteri kesembilan.

Bagaimanapun ahli parlimen Bera itu hanya sempat menjadi perdana menteri selama kira-kira 14 bulan sebelum parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada PRU ke-15.

Menurut Al-Sultan Abdullah selepas berakhirnya PRU ke-15 baginda membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli parlimen untuk bermuafakat serta mencari kesepakatan demi negara.

Titah baginda langkah itu perlu diambil dengan mengutamakan prinsip perpaduan.

“Setelah mengambil pendekatan yang ditetapkan oleh perlembagaan persekutuan, beta telah memperkenankan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10,” titahnya.

Terdahulu, pada awal ucapannya baginda turut bertitah supaya semua pihak berlapang dada dan menerima keputusan PRU ke-15.

“Marilah kita berlapang dada dengan hati yang terbuka untuk menerima dan menghormati keputusan pilihan raya tersebut,” titahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS