Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO, penduduk dihalang tinggalkan tapak lombong pasir 'haram'

Pergelutan tercetus di Pantai Pasir Panjang, Segari dekat Manjung, Perak apabila penduduk kampung dan aktivis alam sekitar, yang mengadakan sidang media berkenaan dakwaan kegiatan melombong pasir secara haram, dilarang meninggalkan tempat itu.

Pergaduhan berlaku tengah hari tadi apabila kumpulan wakil dari Maegma Minerals Sdn Bhd, yang merupakan pemilik tanah, menghalang sekumpulan 20 orang daripada meninggalkan kawasan tempat penyu mendarat di muara Sungai Puyu.

Antara yang dihalang adalah Adun Pantai Remis, Wong May Ing dan aktivis dari Persatuan Aktivis Sahabat Alam dan Persatuan Penggiat Alam Segari.

Pegawai kajian lapangan Sahabat Alam Malaysia Meor Razak Meor Abdul Rahman memberitahu Malaysiakini bahawa wakil Maegma Minerals mendakwa peserta sidang media sebagai menceroboh kawasan itu.

"Sebahagian daripada kami, termasuk Wong, pergi ke lokasi menerusi laut, sementara penduduk kampung yang lain melalui jalan darat.

"Kami buat sidang media untuk menggesa pihak berkuasa menghentikan kegiatan melombong pasir haram kerana ia memusnahkan tapak pendaratan penyu.

"Mereka menghalang peserta sidang media beredar dengan menutup jalan dengan jentolak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tiada tangkapan dibuat

Ketika pergelutan tercetus, Meor telah meninggalkan kawasan itu tetapi diminta kembali untuk meredakan keadaan.

"Walaupun polis dan pegawai cawangan khas ada, mereka (kumpulan wakil Maegma Minerals) tetap menghalang peserta dari beredar.

"Penduduk kampung kecewa kerana pemilik tanah telah memusnahkan pantai dengan melombong dan mengalihkan pasir dari pantai," dakwanya.

"Saya hanya ingin semua peserta dapat beredar dengan selamat, jadi saya minta maaf kepada mereka jika ada salah komunikasi. Mereka kemudian benarkan kami pulang," katanya lagi.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Perak Hassan Basri mengesahkan kejadian itu dan berkata tiada tangkapan dibuat selepas kedua-dua pihak setuju untuk menyelesaikannya secara aman.

Insiden berakhir kira-kira jam empat petang.

Namun, Meor berkata Pejabat Tanah dan Galian Perak telah mengesahkan yang Maegma Minerals tidak diberi kelulusan untuk melombong pasir di pantai itu.

Berdasarkan Rancangan Fizikal Negara, katanya, tapak pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, yang sebelumnya di bawah kategori ESA Rank 1 (Environmentally Sensitive Areas), kini di bawah kategori ESA Rank 2 tetapi ia tetap tidak sesuai untuk sebarang kegiatan industri atau perlombongan pasir.

"Mustahil mereka nak bina kilang di situ kerana tanah di bawah kategori Rank 1 dan Rank 2 tidak sesuai untuk tujuan itu.

"Apa yang saya lihat, mereka hanya nak lombong pasir. Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Perak (Mohamad Fariz Mohamad Hanip) berulang kali memberitahu kami yang mereka tidak diberi kelulusan untuk melombong pasir.

"Apa yang mereka lakukan adalah haram," dakwanya.

'Warta tapak pendaratan penyu'

Dalam sidang media itu, Meor dan aktivis lain menggesa kerajaan negeri mewartakan tapak pendaratan penyu itu bagi menghalang ia dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Mereka juga menggesa pihak berkuasa setempat untuk mengambil tindakan tegas menghalang sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kawasan itu daripada berulang.

Pada 11 Januari lalu, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat aktiviti pengeluaran pasir dari Pantai Pasir Panjang, yang belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Namun dia berkata setakat ini, tiada kerja membawa keluar pasir yang dikesan dilakukan di kawasan pendaratan penyu berkenaan.

Dia juga berkata tanah di situ adalah hak milik persendirian, maka kerajaan negeri tiada kuasa menghalang pemilik daripada melakukan kegiatan di situ kecuali berkenaan pengeluaran pasir tanpa lesen.

Pada 8 Januari lalu, Maegma Minerals dilaporkan berkata pihaknya mematuhi semua syarat yang ditetapkan untuk melakukan kerja di kawasan itu.

Syarikat itu berkata kerja yang dijalankan telah mendapat kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.

Maegma Minerals merancang untuk membina kilang keluli berintegrasi di kawasan itu. Mereka berkata ia dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

"Kerja penggantian pasir yang sedang berjalan adalah untuk menyediakan tanah bagi menghalang pencerobohan haram dan kegiatan lain yang menjejaskan alam sekitar," kata syarikat itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS