Badan Peguam Malaysia meluahkan rasa kecewa terhadap Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang akan dikuatkuasakan pada Jun 2023, dengan meyifatkannya sebagai "tidak bertaring” dan "kurang kuasa" untuk menegakkan kebertanggungjawaban pihak polis.
Mereka merujuk pengumuman Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 13 Disember lalu, selain membangkitkan insiden kematian dalam tahanan sebagai contoh utama kepincangan IPCC.
“Orang ramai berhak menjangkakan bahawa polis akan bertindak dengan adil apabila berurusan dengan masyarakat.
“Oleh itu adalah wajar ada satu badan penyelia bebas untuk memantau salah satu perkhidmatan awam terpenting di negara kita - pasukan polis,” kata presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah dalam kenyataan hari ini.
Sejak beberapa tahun lalu, badan itu sememangnya lantang bersuara mengenai penguatkuasaan akta itu, dengan berpendapat Akta Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang perlu ditubuhkan dan bukannya IPCC.
IPCMC mempunyai fungsi yang sama dengan IPCC kecuali ia dikendalikan oleh pihak bebas yang tidak terikat dengan pasukan polis.
Berbeza dengan IPCMC, IPCC tidak boleh mengenakan tindakan kepada polis yang didapati melakukan kesalahan, sebaliknya hanya boleh memberi syor tindakan kepada polis atau pihak berkuasa lain yang terlibat.
“Sudah tentu polis tidak boleh mengawal sendiri polis.
“IPCMC akan memberikan polis maruah dan penghormatan yang memang wajar diraih pasukan itu dengan mengendalikan salah laku segelintir anggotanya.
"(Salah laku) Yang menjejaskan nama baik seluruh anggota yang bekerja keras yang komited untuk berkhidmat kepada negara dan warganya," katanya lagi.
Rang Undang-undang IPCMC pada mulanya dibentangkan pada 2018 tetapi digantikan dengan IPCC pada 2020 apabila Perikatan Nasional menjadi kerajaan.
Pendirian Edict berbeza
Mengulas kenyataan itu, Presiden NGO Menghapuskan Kematian Dan Penderaan Dalam Tahanan Bersama (Edict) M Visvanathn mendakwa Badan Peguam Malaysia salah faham terhadap mekanisme sebenar IPCC dan IPCMC.
"Mekanisme salah laku IPCC dan IPCMC dibuat untuk menyiasat dakwaan salah laku, bukannya mekanisme untuk menyiasat kematian dalam tahanan," katanya yang juga seorang peguam.
Dia berkata ia turut mengabaikan hakikat bahawa kematian dalam tahanan turut berlaku di penjara, pusat imigresen, agensi penguatkuasaan dadah dan SPRM.