Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPDN lihat keperluan e-aduan lebih canggih, kompeten - Salahuddin
Diterbitkan:  Dec 11, 2022 9:42 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melihat keperluan mewujudkan sistem e-aduan yang lebih canggih dan kompeten bagi memudahkan orang ramai menyalurkan aduan atau cadangan.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata langkah itu penting bagi memberi keselesaan kepada pengguna dan mempercepat tindakan oleh pihak KPDN.

"Saya akan bincang dahulu dengan pihak kementerian dan melihat kepakaran yang ada. Banyak aplikasi canggih pada hari ini yang kita boleh aplikasikan… pengguna juga tidak perlu datang ke pejabat.

"Contohnya hari ini saya membuat lawatan mengejut ke Pejabat KPDN Johor dan bertemu seorang pengguna yang datang dari Kluang semata-mata untuk membuat aduan ke Tribunal Pengguna.

"Seharusnya pengguna tidak perlu datang ke pejabat yang jauh bagi membuat aduan," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Iskandar Puteri hari ini.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata aduan yang diterima daripada orang ramai perlu ditangani dalam tempoh yang pantas bagi membela hak pengguna.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram berkata beliau akan meningkatkan kekerapan membuat lawatan mengejut termasuk ke kawasan luar bandar bagi meninjau situasi bekalan dan harga telur serta minyak masak peket bersubsidi di pasaran.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Salahuddin berkata baginda berkenan menasihatkan supaya empat menteri Kabinet dari Johor dapat berperanan dalam membantu meningkatkan imej, ekonomi dan sosiopolitik di negeri ini.

"Perbincangan dari hati ke hati dan ada juga menyebut tentang peranan kementerian yang saya terajui dan selebihnya adalah isu politik. Saya tidak menyangka pertemuan itu diadakan dengan begitu santai namun Sultan Johor sangat fokus dan serius membincang isu rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stulang Andrew Chen Kah Eng dilantik sebagai Ketua Pembangkang Johor yang baharu bagi menggantikan Adun Perling Liew Chin Tong yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Pelantikan itu sudah dimaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini. PH Johor berterima kasih atas khidmat terbaik diberikan oleh Liew yang juga Pengerusi DAP Johor sebagai Ketua Pembangkang DUN Johor selepas Pilihan Raya Negeri Johor Mac lepas.

"Kami yakin Chen yang menjadi Adun Stulang selama tiga penggal sejak 2013 dapat meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang DUN Johor dengan lebih baik," katanya.

Salahuddin pada masa yang sama mencadangkan kerajaan negeri memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada Ketua Pembangkang DUN Johor memandangkan peranannya cukup penting dalam pentadbiran negeri.

"Kami mencadangkan supaya Ketua Pembangkang DUN Johor diberi peruntukan dan sumber seperti yang diterima oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS