Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cari Azam Baki: Kenyataan Rafizi angkuh, sombong - Azmin
Diterbitkan:  Nov 18, 2022 11:09 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Ketua Penerangan PN Azmin Ali menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa PH akan "mencari" Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki jika menang dalam PRU15, sebagai angkuh dan sombong.

Azmin yang merupakan bekas pemimpin nombor dua PKR berkata, kenyataan itu juga seperti cuba memberi tekanan kepada penjawat awam.

“Jangan bermusuh dengan anggota perkhidmatan awam...tiada keperluan tetapi mungkin ini sudah ditakdirkan begitu.

“Anggota perkhidmatan awam boleh lihat sendiri watak PH,” katanya kepada pemberita selepas Rapat Umum Era Baru Putrajaya malam tadi, seperti dipetik Bernama.

Azmin berkata lagi, penjawat awam hanya menjalankan tugas yang ditetapkan oleh kerajaan, bukannya ahli politik.

Dia mengulas kenyataan Rafizi itu susulan tindakan SPRM menyerbu pejabat syarikat yang diasaskannya, Invoke Solutions Sdn Bhd, pada 15 dan 16 November lalu, untuk merampas beberapa dokumen dan menyoal siasat pekerja.

Pengarah Kanan Penyiasatan SPRM Hishamuddin Hashim dipetik laporan Utusan Online mengesahkan serbuan pada 15 November, menyebutnya cuma "prosedur rutin".

Dia juga berkata pihaknya hanya meminta penjelasan berhubung dokumen yang dirampas, dan tiada sebarang kenyataan diambil sepanjang serbuan.

Menyifatkannya sebagai bermotif politik, Rafizi dalam ceramah di Johor Bahru pada 16 November berkata, PH akan "mencari" Azam berhubung skandal skandal pegangan sahamnya yang mengundang perhatian sebelum ini.

“Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya-Allah. Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila Pakatan Harapan menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya.

Akhir tahun lalu, Azam berdepan kontroversi pemilikan hampir dua juta saham di sebuah syarikat tersenarai awam - antara April 2015 dan Mac 2016 - semasa berkhidmat sebagai pengarah siasatan SPRM.

Dia kemudian berkata saham itu dibeli oleh adiknya yang meminjam namanya dan dia yakin dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan.

Siasatan Suruhanjaya Sekuriti kemudian memutuskan tiada pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Suruhanjaya itu menjelaskan bukti bebas yang dikumpulkan pada siasatan akaun dagangan Azam menunjukkan dia ialah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS