ADS
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: Nama-nama besar yang tewas
Diterbitkan:  Apr 14, 2025 4:19 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Ahli PKR di tujuh negeri selesai menunaikan tanggungjawab memilih ketua cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang dan wanita cabang bagi penggal 2025–2028.

Ia membabitkan ahli PKR di Selangor, Melaka, Perlis, Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Proses pemilihan pimpinan cabang di tujuh negeri itu juga berjalan lancar.

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan beberapa pemimpin kanan yang bertanding tewas.

ADS

Di Selangor, antara pemimpin kanan PKR yang tewas adalah Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail yang tewas kepada Najwan Halimi bagi jawatan ketua cabang.

Rodziah masih mempunyai saingan bagi jawatan ketua Wanita PKR, menentang penyandang yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Bagi cabang Selayang, Adun Rawang, Chua Wei Kiat, gagal dalam pertembungan tiga penjuru selepas hanya meraih 1,648 undi, di belakang pencabarnya, Kamarudin Mohd Hussain, yang memperoleh 2,041 undi. Calon ketiga, Wan Ibnul Bahar Wan Ismail, pula hanya memperoleh 28 undi.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung

Bagi jawatan ketua cabang Petaling Jaya, ahli parlimen kawasan itu, Lee Chean Chung tewas kepada penyandang, yang juga bekas ahli parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian.

ADS

Di cabang sama, bagi jawatan timbalan ketua, Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, turut tewas di tangan penyandangnya, Ahmad Akhir Pawan Chik.

Mohammad Fahmi yang juga Adun Seri Setia, memperoleh 2,684 undi manakala Ahmad Akhir pula, 2,819.

Sementara itu, bagi cabang Kota Raja, bekas exco Selangor dan bekas Adun Sungai Kandis selama sepenggal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tewas kepada Ahmad Danish Hairun dalam perebutan jawatan timbalan ketua cabang.

Bekas ahli parlimen Kapar Abdullah Sani

Keputusan yang agak mengejutkan juga berlaku dalam pemilihan ketua cabang PKR Kapar apabila bekas ahli parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid gagal mempertahankan pengaruhnya dan tewas dalam persaingan sengit merebut jawatan tersebut.

Berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan, Abdullah Sani hanya meraih 618 undi, jauh di belakang pemenang, Azizi Ayob yang memperoleh 1,580 undi.

Abdullah Sani telah lama berkhidmat dan memiliki pengaruh yang kuat di kawasan parlimen Kapar dan kegagalannya untuk memenangi jawatan ketua cabang menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai perubahan sokongan politik di peringkat akar umbi PKR Kapar.

Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad

Manakala di Perak, Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad antara wakil rakyat yang tewas.

Muhamad Arafat gagal mempertahankan jawatan ketua cabang PKR Tambun apabila hanya memperoleh 1,233 undi berbanding lawannya, Shamsul Kamar Ani yang mendapat 1,458 undi.

ADS

Selain itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan turut tewas kepada Timbalan Ketua Penerangan PKR Perak, Novinthen Krishnan bagi jawatan ketua PKR cabang Sungai Siput.

Cubaan pertama kali Adun Hutan Melintang, S Wasanthee bertanding merebut jawatan ketua PKR Cabang Bagan Datuk gagal apabila penyandangnya, R Manukaran mempertahankan jawatan berkenaan.

Sementara itu di Kedah, bekas ahli parlimen Kuala Kedah, Azman Ismail juga tewas bagi perebutan jawatan ketua cabang Kuala Kedah kepada Mohamad Shakir Lukman Hakim.

Bekas calon PH bagi parlimen Pendang, Zulkifly Mohamad turut berputih mata kerana gagal mempertahankan jawatan ketua PKR cabang Pendang selepas tewas kepada Halim Khomiza.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim

Di Melaka, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim gagal dalam cubaannya merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya apabila mampu meraih 791 undi berbanding pencabarnya, Zamzizul Nordin yang mendapat 1,905 undi.

Bekas Adun Klebang, Gue Teck turut gagal merebut jawatan ketua cabang Tangga Batu dalam saingan tiga penjuru.

Teck menduduki tempat kedua apabila mendapat 568 undi dan terpaksa akur kepada pencabarnya, Azlan Osman yang memperoleh 609 undi, manakala calon ketiga Teh Wah Ning mendapat 198 undi.

Gan Ay Ling

Di Perlis, Ketua Pembangkang DUN Perlis, Gan Ay Ling tewas kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis, Noor Amin Ahmad dalam perebutan jawatan ketua PKR cabang Kangar.

Pengarah Pilihan Raya PH Perlis yang juga bekas Adun Kuala Perlis, Nor Azam Karap juga gagal mempertahankan jawatan timbalan ketua cabang Kangar apabila tewas kepada Nazman Omar, dengan perbezaan 78 undi.

Pemilihan bagi jawatan PKR di peringkat cabang, wanita cabang dan AMK cabang bermula 11 April lalu dan akan berlangsung hingga 20 April.

Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan pula akan diadakan pada 24 Mei ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS