Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khir jadi calon? Pemuda Umno Sg Besar terima keputusan pimpinan

Pemuda Umno Sungai Besar bersikap terbuka dan sedia menerima sesiapa saja yang diputuskan pemimpin untuk bertanding di kawasan tersebut.

Bagaimanapun ketuanya Mohd Imran Tamrin berpendapat pemimpin Umno wajar mengambil kira kencederungan semasa pengundi serta harapan mereka.

"Yang penting seseorang calon yang dipilih itu boleh memberi kelebihan kepada BN secara keseluruhan, bukan hanya di sesuatu tempat saja.

"Kami tak mahu hanya kerana satu atau dua calon yang terpilih, peluang dan jenama BN terjejas, dan ia akan melemahkan calon-calon di kerusi lain," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut Mohd Imran lagi, Pemuda Umno Sungai Besar akan bekerja secara maksimum untuk memenangkan calon yang terpilih selepas ia disepakati.

Terdahulu bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, dijangka membuat penampilan semula sebagai ahli politik aktif selepas namanya kurang menonjol ekoran sabitan kes rasuah.

Mohamad Khir didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Dis 2011 dan diarah dipenjara selama satu tahun.

Nilai kehendak semasa

Dia yang ketika itu menjadi Adun Sungai Panjang didakwa mendapatkan untuk diri sendiri dan isterinya, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta.

Hartanah itu dibeli oleh Ditmas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Selepas rayuan dibuat, pada 29 Sept 2015 Mahkamah Persekutuan memutuskan hukuman yang dibuat mahkamah tinggi sebelum itu dikekalkan.

Mahkamah Persekutuan itu juga menolak tawaran ahli politik terbabit untuk melakukan khidmat masyarakat melalui rawatan pergigian percuma kepada orang miskin sebagai ganti kepada hukuman penjara.

Mohamad Khir, 57, kini disebut-sebut antara nama yang dipertimbangkan untuk mewakili Umno-BN di kerusi parlimen Sungai Besar.

Portal Free Malaysia Today yang memetik Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos melaporkan, nama Mohamad Khir adalah satu daripada 40 calon yang dinilai.

Di bawah parlimen Sungai Besar, ada dua kerusi DUN iaitu Sungai Panjang dan Sekinchan.

Mohd Imran Tamrin

Mohd Imran - yang kini menjadi Adun Sungai Panjang - berkata setiap calon mempunyai kekuatan dan kekurangan masing-masing, justeru aspek itulah yang akan dipertimbang parti.

Katanya, pemimpin tertinggi akan menilai calon yang dirasakan paling sesuai mengikut kriteria winnable, likeable, acceptable (boleh menang, boleh disukai, boleh diterima).

Pada masa sama, seseorang calon itu juga perlu dinilai berdasarkan kesesuaian dan kehendak semasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS