ADS
mk-logo
Berita
Zaid: Kenapa Melayu marah kerana kuil, bukan rasuah?
Diterbitkan:  Mar 27, 2025 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Zaid Ibrahim hari ini mempersoalkan kemarahan orang Melayu di media sosial berhubung isu kuil-masjid sambil merungut kurangnya rasa berang mereka terhadap kes rasuah.

"Jika kita tunjukkan tahap kemarahan yang sama terhadap rasuah dan salah guna kuasa - seperti skandal rasuah yang berterusan di Sabah - kita akan ada pemimpin yang lebih baik yang boleh membantu kemajuan masyarakat dan negara," kata bekas menteri undang-undang itu kepada Malaysiakini.

Dalam catatan di Facebook sebelum ini, Zaid melahirkan rasa bimbang terhadap kekecewaan umat Islam apabila kerajaan memberikan konsesi kepada bukan Islam, sama ada dalam bentuk tanah untuk tempat ibadat mahupun bantuan kewangan.

"Umat Islam mempunyai lebih daripada masjid yang mencukupi dan bantuan kewangan daripada kerajaan untuk berpuas hati. Namun, saya lihat, mereka begitu marah di media sosial mengenai isu kuil di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya.

ADS

Mengulas lanjut, Zaid menegaskan bahawa orang bukan Islam juga adalah pembayar cukai yang menyumbang kepada tabung negara dan oleh itu, mereka juga berhak mendapat bantuan kerajaan.

"Mereka adalah rakyat Malaysia. Kerajaan bukan hanya berkhidmat kepada orang Melayu dan Islam - ia mewakili semua rakyat, menjaga kepentingan mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi saya nasihatkan semua supaya tidak terpengaruh dengan mereka yang mengeksploitasi isu ini untuk kepentingan peribadi. Para pendakwah yang menyalakan api juga harus menumpukan perhatian kepada apa yang agama tetapkan tentang tadbir urus yang baik," tambahnya.

Mengenai isu ketegangan kaum dan agama, Zaid berhujah bahawa punca utama terletak dalam sistem pendidikan - baik sekular mahupun agama.

Sambil menggesa orang ramai memberi masa kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bekas menteri itu mengkritik kerajaan Madani kerana gagal menangani punca sebenar sikap tidak boleh tolar ansur dalam agama.

“Mereka masih mendengar cakap birokrat di Jakim (Jabatan Kemajuan Islam) dan pejabat Mufti, mereka masih mengharamkan buku yang mempromosikan tafsiran ajaran Islam yang lebih terbuka.

“Namun, berikan Anwar masa untuk mengemudi negara ke arah yang lebih sederhana.

"Mudah-mudahan, beliau akan sedar bahawa pengharaman perbincangan mengenai 3R (kaum, agama, dan raja-raja) tidak membantu. Kita mesti bercakap secara jujur tentang punca masalah ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS