ADS
mk-logo
Berita
Zamri ditahan kerana ‘menghasut’, dijangka direman esok
Diterbitkan:  Mar 27, 2025 8:11 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Pendakwah bebas Zamri Vinoth dilaporkan telah ditahan berhubung hantaran Facebooknya mengenai isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur.

Menurut beberapa laporan media, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah memulakan siasatan terhadapnya di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Zamri dilaporkan kini ditahan di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) Padang Besar, Perlis dan akan dibawa ke mahkamah Kangar esok untuk permohonan reman.

“Dia ditahan di Taman Melati Indah di Beseri, Kangar hari ini,” kata Razarudin seperti dipetik New Straits Times.

Dia juga berkata polis telah merampas sebuah telefon milik Zamri.

ADS

Dalam hantarannya sebelum ini, Zamri menggambarkan jawatankuasa kuil sebagai merampas tanah untuk membina tempat ibadat tersebut.

Bagaimanapun, isu kuil tersebut telah diselesaikan secara baik selepas jawatankuasa kuil mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung pemindahannya, di tapak kira-kira 50 meter dari tapak sekarang.

Mengulas lanjut, Razarudin menjelaskan penahanan Zamri dibuat susulan satu laporan polis yang mendakwa dia memuat naik komen yang menyentuh sensitiviti agama berkaitan isu tersebut.

ADS

Katanya, laporan itu dibuat semalam oleh seorang lelaki di IPD Dang Wangi.

"Dalam laporannya, pengadu menggesa polis menyiasat Zamri atas komen yang didakwa berbaur hasutan dan menghina agama Hindu.

"Pegawai penyiasat kami telah mengemukakan 24 soalan kepada suspek dalam siasatan ini," katanya.

Selain itu, Razarudin memaklumkan MCMC telah mula menyimpan data dari akaun Facebook Zamri.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS