Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Faroz Jakel berkata syarikatnya tidak berniat untuk mencetuskan kritikan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Dalam satu kenyataan di TikTok, Faroz mengucapkan terima kasih kepada Zaliha kerana membantu syarikatnya menyelesaikan isu berkenaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dalam tempoh kira-kira satu setengah tahun.
“Sebelas tahun kami menunggu…Tak wajar nak salahkan Zaliha kerana tanpa pertolongannya, kita tak dapat pecah tanah hari ini dan masjid tak akan siap dalam masa dua tahun.
“Tapi kalau kita pergi ke proses undang-undang, 10 tahun pun belum tentu (masjid dapat disiapkan).
“Saya pun tak tahu saya ada lagi ke tak,” katanya.
Terdahulu, Zaliha menyifatkan majlis pecah tanah bagi Masjid Madani itu sebagai detik bersejarah yang melambangkan kemenangan hikmah, kesabaran dan prinsip keutamaan dalam menyelesaikan pertikaian yang sensitif.

Beberapa pihak menyalahkan Zaliha kerana didakwa menghalang Jakel daripada membawa jawatankuasa kuil ke mahkamah selepas 11 tahun rundingan untuk memindahkan kuil di tanah tersebut, yang dibeli syarikat daripada DBKL.
Sebelum ini Faroz berkata syarikatnya tidak meneruskan hasrat untuk memfailkan saman selepas dinasihati Zaliha, yang berpandangan tindakan itu boleh mencetuskan isu perkauman yang lebih besar.
Hari ini, Faroz berkata ucapan spontan yang disampaikan semasa majlis pecah tanah telah disalah tafsir sesetengah pihak.
“Ucapan tersebut disampaikan secara spontan dan tanpa niat untuk memburukkan mana-mana pihak.
“Malangnya, satu petikan audio daripada keseluruhan ucapan telah diambil dan disiarkan secara terpisah oleh sesetengah media, sehingga menimbulkan tafsiran yang tidak tepat serta reaksi yang kurang menyenangkan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Dia menjelaskan keputusan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang dibuat oleh syarikatnya sendiri selepas berunding dengan penasihat undang-undang.
“Zaliha hanya menyampaikan pandangannya berkenaan kemungkinan implikasi undang-undang dan sosial sekiranya isu ini berpanjangan, berdasarkan nasihat pelbagai pihak berwajib,” katanya lagi.
Pada 25 Mac lalu, jawatankuasa kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mengesahkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memindahkan struktur kuil sedia ada di Jalan Munshi Abdullah, berhampiran Jalan Masjid India, ke tapak baru yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal.