Pemuda Umno menganggap Bersih dan Pakatan Harapan (PH) bersikap pilih kasih apabila mengecam Azalina Othman berhubung tegurannya terhadap keputusan Ismail Sabri Yaakob mengekalkan Idrus Harun sebagai peguam negara.
Dalam kenyataan hari ini, ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah melakukan perkara yang merugikan badan kehakiman.
Misalnya, kata Asyraf Wajdi, Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan selepas PRU ke-14 memanggil dua hakim kanan menghadap dan kemudian mendesak mereka meletak jawatan.
Dua hakim yang dirujuk Asyraf Wajdi ialah Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli Ahmad Makinudin.
Dia juga mendakwa DAP melobi kerajaan agar Richard Malanjum dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru pada 2018.
Langkah tersebut, katanya, turut dikritik bekas ketua hakim negara, Abdul Hamid Mohamad.
“(Malanjum) kemudian bersara dan berkempen bagi pihak PH pada pilihan raya negeri Sabah 2020 termasuk naik pentas bersama Lim Guan Eng untuk berceramah politik.
“Jadi (adakah) PH dan Bersih masih berani menyeru orang lain supaya menghormati jawatan peguam negara dan badan kehakiman?” soalnya.
Asyraf Wajdi juga berkata, PH melantik bekas pemimpin PKR, Latheefa Koya, untuk mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sabtu lalu, Azalina yang juga bekas menteri di era pentadbiran BN ketika berucap pada taklimat khas presiden Umno menegur Ismail Sabri atas pelantikan peguam negara.
Azalina berkata, kuasa peguam negara adalah sangat besar dan “tidak boleh dipersoalkan”.
“Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik ‘orang dia’ untuk jadi peguam negara,” katanya.
Untuk rekod ekoran kejatuhan PH melalui Langkah Sheraton penyandang jawatan peguam negara ketika itu, Tommy Thomas, meletak jawatan.
Kerajaan - yang dipimpin Muhyiddin Yassin - kemudian mencadangkan agar Idrus mengisi tempat tersebut. Sebelumnya Idrus merupakan hakim Mahkamah Persekutuan.
Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, berkata kenyataan Azalina itu adalah bukti Umno dan BN mengawal penjawat awam mengikut kehendak parti itu ketika mereka berkuasa.
Pengerusi Bersih, Thomas Fann, pula mengkritik Azalina yang didakwanya mengubah pendirian ketika Ismail Sabri berkuasa walaupun sebelum itu ahli parlimen Pengerang terbabit sendiri mengeluarkan kenyataan mahu pemisahan kuasa dilakukan dan kerajaan tidak mencampuri urusan mahkamah.
“Perdana menteri mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menukar peguam negara.
“Peguam negara mempunyai beberapa peranan. Pertama, beliau adalah penasihat kepada kerajaan dan kedua, beliau adalah pendakwa raya.
"Peguam negara mempunyai kuasa untuk membebaskan orang yang menghadapi perbicaraan... Itulah yang membimbangkan kami," kata Fann.