Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP mahu k’jaan jelaskan sistem pengesanan, penjejakan tembakau
Diterbitkan:  Aug 3, 2022 5:01 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR Fahmi Fadzil mahu kerajaan menjelaskan mengenai kemungkinan sistem penjejakan digital diperkenalkan sebagai sebahagian daripada akta tembakau baru yang dicadangkan dan dasar generasi penamat (GEG) bagi mewujudkan generasi bebas merokok termasuk rokok dan vape membabitkan mereka yang lahir pada 2007 dan selepasnya.

Selain penjelasan, Fahmi juga menuntut supaya kepentingan mana-mana pihak disytiharkan.

“Ini mesti dijelaskan, kepentingan juga mesti diisytiharkan,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini sambil melampirkan keratan akhbar yang melaporkan dua syarikat - Green Packet Bhd and Privasia Technology Bhd - akan memohon kelulusan daripada Kementerian Kesihatan bagi memulakan sistem itu.

Memetik sumber, StarBiz akhbar The Star berkata kedua-dua syarikat itu mencadangkan sistem yang dipanggil “tobacco tack and trace” (TTT) atau pengesan dan penjejak tembakau dengan memperkenalkan label keselamatan ke atas produk tembakau. Label itu dikatakan mengandungi "berbilang peringkat keselamatan dengan imej definisi ultra-nipis yang membolehkan tiga peringkat pengesahan".

Sumber itu berkata, sekiranya projek itu diluluskan, ia juga berkemungkinan akan diberikan melalui rundingan terus dan bukannya melalui tender terbuka.

Difahamkan sistem baharu yang dicadangkan itu bertujuan membanteras pengedaran rokok haram di Malaysia, namun sumber itu berkata ia tidak mungkin berkesan.

“Sistem pengesanan ini hanya akan menambahkan kos yang akhirnya akan disalurkan kepada pengguna. Kita sudah pun mempunyai setem cukai pada kotak rokok secara digital,” kata sumber itu.

Sebelum ini, adalah dilaporkan bahawa Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan beberapa mekanisme untuk memantau penjualan semua jenis produk tembakau, termasuk menggunakan kod QR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS