mk-logo
Berita
Buat TikTok isu subsidi - polis 'iringi' bekas senator PKR ke balai
Diterbitkan:  Jun 27, 2022 5:47 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Polis memanggil bekas ahli Dewan Negara Siti Aishah Shaik Ismail bagi mengambil keterangan berhubung video dibuat mengenai isu subsidi dalam aplikasi media sosial TikTok.

Siti Aishah berkata pihak polis bersama pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyerbu rumahnya dan merampas sebuah telefon bimbit miliknya.

Selepas itu, kata Siti Aishah polis telah membawa dia ke balai untuk diambil keterangan.

"Pada jam 1.40 petang tadi, tiga kenderaan, satu daripada SKMM dan dua daripada polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah hadir ke rumah saya yang waktu itu ada ayah saya sahaja.

"Saya pulang sekitar jam 15 minit selepas itu, mereka membuat serbuan bilik saya melihat telefon yang saya guna untuk TikTok, memuat naik video, rakaman video dan sebagainya dah dirampas dan saya bawa Balai Polis Sungai Senam, Ipoh di unit siasatan jenayah untuk disiasat," katanya pada satu kenyataan.

Menurut pemimpin PKR Perak itu, siasatan polis terhadapnya berkaitan video tersebut serta satu laporan polis oleh sebuah NGO di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur tempoh hari.

"Dia (polis) tidak menyebut secara jelas bahawa saya ditahan.

"Tetapi, saya dipanggil dan diiringi sehingga balai polis untuk merakamkan kenyataan," kata Siti Aishah.

Pada 23 Jun lalu, Siti Aishah memuatnaik satu video mengenai keputusan kerajaan tidak meneruskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol mulai 1 Julai ini.

Menyifatkan 1 Julai sebagai tarikh derita kepada rakyat Malaysia, Siti Aishah juga meminta rakyat berbangkit dan menolak kerajaan hari ini pada PRU akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS