Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dijangka menerima watikah pelantikannya sebagai duta Malaysia ke Indonesia esok.

Dia dijadual menerima watikah berkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut sumber kerajaan, anggota Majlis Tertinggi Umno itu akan menghadap Al-Sultan Abdullah bersama empat lagi duta lantikan pada awal petang Isnin.

"Untuk kumpulan itu ada lima duta baru yang dipilih kerajaan (akan diterima menghadap)," kata sumber berkenaan.

Empat tokoh lain masing-masing akan menjadi duta ke Jepun, Arab Saudi, Iran dan Korea Selatan. Tidak seperti Tajuddin mereka semuanya adalah anggota perkhidmatan awam.

Malaysiakini sudah menghubungi Tajuddin untuk mendapatkan komen namun bekas pengarah pilihan raya Umno Malaysia itu memberi bayangan yang dia belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan.

Sementara itu Malaysiakini difahamkan seorang lagi pemimpin Umno, Nazri Aziz, turut dipersetujui untuk dilantik sebagai duta.

Menurut sumber lain, ahli parlimen Padang Rengas ini sedang dipertimbangkan untuk dilantik menjadi diplomat Malaysia ke Amerika Syarikat.

"Nazri akan dilantik menjadi duta ke AS tetapi ia bergantung kepada kelulusan," katanya sumber dalaman kerajaan.

Dia juga memberitahu nama bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sudah diserahkan ke kerajaan AS untuk dimaklumkan.

Sementara itu Nazri yang dihubungi Malaysiakini mendakwa dia tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

"Sebenarnya saya tak tahu apa-apa langsung," katanya.

Sebelum ini dia ditawarkan menjadi duta ke Switzerland, tetapi menurut laporan Free Malaysia Today, menolaknya pada 2019 kerana enggan kehilangan kerusi parlimen.

Untuk rekod negara-negara Eropah tidak menerima seorang duta daripada kalangan ahli parlimen.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS