mk-logo
Berita

PARLIMEN l Setelah dua kali penafian bahawa Tengku Zafrul Abdul Aziz adalah masih menteri kewangan oleh kementerian dan dirinya sendiri, hari ini giliran timbalannya pula, Mohd Shahar Abdullah membuat penjelasan yang sama di Dewan Rakyat.

Ia susulan soalan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang terus mencelah semasa sesi soal jawab, hari ini.

“YB Pokok Sena, YB Menteri Kewangan masih menjalankan tugas sebagai menteri kewangan. Tiada perletakan jawatan. Saya nak maklum kepada YB Pokok Sena, tempoh hari saya dah maklumkan kepada YB di luar Dewan, hari ini saya nak maklumkan di dalam Dewan.

“Saya harap YB Pokok Sena tak bangkitkan isu ini lagi,” katanya.

Mahfuz dalam soalannya ingin tahu mengenai kenyataan Zafrul yang sebelum ini berkata, pengeluaran lagi wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyaksikan kos pinjaman kerajaan akan bertambah kepada RM830 juta setahun.

Menurutnya, menteri kewangan itu juga mendakwa pengeluaran khas akan menyebabkan lebih kurang RM63 bilion dikeluarkan dan ini akan membawa kepada kemungkinan KWSP terpaksa jual aset-asetnya di luar negara.

“Saya nak merujuk kepada kenyataan menteri kewangan yang harap-harap belum bekaslah. Ke dah bekas dah?” soalnya.

Khamis, 17 Mac lalu, Zafrul juga menafikan dirinya meletak jawatan selepas tidak hadir semasa persidangan di Dewan Rakyat.

Menteri kewangan itu dibelenggu spekulasi peletakan jawatan selepas kerajaan mengumumkan pusingan keempat pengeluaran khas KWSP.

Pada Januari lalu, Zafrul dilaporkan sebagai berkata dia lebih rela meletak jawatan daripada berkompromi terhadap sebarang keputusan melibatkan pengeluaran lagi daripada KWSP.

Zafrul dan KWSP tidak bersetuju dengan satu lagi pusingan pengeluaran kerana ia akan menjejaskan masa depan pencarum.

Menteri itu juga memberi amaran bahawa dana itu mungkin terpaksa menjual asetnya di luar negara jika ia bertujuan membenarkan pengeluaran khas tersebut.

Bagaimanapun, kerajaan mengumumkan perubahan pendirian pada 16 Mac, membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 lagi daripada simpanan persaraan mereka.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang berjumlah RM101 bilion. Ia melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Justeru, dengan pengeluaran khas kali ini, ia adalah yang keempat sejak 2020.

Pada Jumaat, 18 Mac lalu, Kementerian Kewangan turut menafikan Zafrul telah meletak jawatan sebagai menteri.

Sebaliknya, kementerian itu berkata sebaran kenyataan akhbar yang menyatakan dakwaan itu adalah palsu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS