PAU 2021 | Tidak ada alasan lagi untuk Umno melengah-lengahkan pilihan raya umum (PRU), kata timbalan presidennya, Mohamad Hasan.
Malah bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mempersoalkan kewajaran pendirian sesetengah pemimpin kerajaan yang cenderung untuk menangguhkan PRU ke-15.
Menurut Mohamad, keabsahan kerajaan pemerintah kini terus dipersoal kerana ia tidak terbentuk melalui kemenangan pilihan raya, sebaliknya hanya menguasai kerajaan melalui percaturan politik semata-mata.
“Jangan terus berdolak dalih. Malaysia tidak pernah ditadbir oleh kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihan raya yang demokratik.
“Sampai bila kita mahu terus bergantung dengan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dan memorandum persefahaman (MOU) untuk mengurus kestabilan negara ini?
“Sejak bila kelangsungan serta keabsahan kita sebagai pemerintah bergantung pada ihsan dan simpati parti lain? Sampai bila?” soalnya ketika berucap merasmikan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur malam ini.
Turut hadir ketiga-tiga naib presiden, Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid, dan Mohamed Khaled Nordin; serta Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.
Kata Mohamad, apa yang diperlukan Malaysia ialah sebuah kerajaan dengan parti terkuat. Tanpa perkara itu, tambahnya, kerajaan yang stabil tidak akan dapat dibentuk.
Peratusan terendah dalam sejarah
Oleh hal yang demikian, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menggesa agar Umno membuat pendirian terhadap kewajaran untuk menyegerakan PRU ke-15, meskipun terdapat ada dalam kalangan Umno sendiri yang membantah perkara tersebut.
“Akan tetapi, apakah jaminannya bahawa keadaan akan lebih memihak kepada BN jika kita terus menangguhkan PRU?
“Adakah alasan menolak PRU sekarang berdasarkan satu penilaian risiko (risk analysis) yang teliti dan mendalam? Atau sekadar mengikut kata hati dan bisikan emosi?
“Apakah dengan menangguhkan PRU, BN akan berada dalam keadaan yang lebih selesa untuk menang? Dan jika demikian, apakah rumus untuk perkara sedemikian berlaku?
“Momentum apa lagi yang BN perlu tunggu untuk menghadapi pilihan raya apabila the feel-good feeling terhadap kerajaan waktu ini sudah mula beransur pudar?” soalnya lagi.
Sedangkan, kata Mohamad, tiada jaminan bahawa CSA dan MOU yang dimeterai dengan pembangkang akan terus bertahan dalam keadaan politik semasa yang begitu dinamik.
Tambahan pula, kata Mohamad, di kala Umno kini hanya mempunyai seorang perdana menteri dan bukanlah memegang tampuk pemerintahan sebagai kerajaan Umno, ia harus mengakui bahawa kekuatan politiknya sudah tidak lagi sebegitu kuat.
Pada satu ketika Mohamad juga melihat kepada Ismail Sabri sambil berpesan: manfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh kita ini. Menyerang sewaktu mereka benar-benar lemah.”
Umno kini, katanya, hanya menguasai 17 kerusi di Dewan Rakyat, jauh meleset berbanding kedudukan dan pengaruh Umno dan angka itu merupakan peratusan terendah dalam sejarah demokrasi Malaysia.
“Sekali lagi jangan kita nafikan, kita juga terpaksa mengurus negara melalui persefahaman dengan pembangkang. Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam sanubari kita!
“Sehingga menimbulkan kekeliruan. Umno ini sedang memerintah, atau diperintah? Rakyat beranggapan Umno ini berkuasa atas ihsan dan belas orang. Bukan kekuatan dan keupayaan sendiri.
“Memang berdesing telinga mendengarnya. Malangnya, semua itu ada benarnya. Sehingga kita sendiri tersepit. Hendak didiamkan, dikatanya kita bendul. Hendak dimarahkan, sudah memang perkara betul,” katanya lagi.