KES 1MDB NAJIB | Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB dan ketua peguam Najib Razak bertikam lidah hari ini berhubung gaya hidup mewah ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau Jho Low.
Pertikaman lidah antara saksi pendakwaan ke-12 Azmi Tahir dan Muhammad Shafee Abdullah itu berlaku ketika perbicaraan rasuah wang 1MDB RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Ia bermula ketika pemeriksaan balas terhadap Azmi, apabila Shafee bertanya jika dia ada berasa sangsi tentang wang berkaitan 1MDB yang didakwa dibelanja Jho Low.
Shafee mendakwa parti-parti anjuran Jho Low menggunakan wang seperti ia milik datuknya sendiri.
Dia juga membangkitkan pelbagai laporan berkaitan, antaranya berkenaan parti champagne di St Tropez di Perancis pada 2010, di mana Jho Low dilihat menari dengan selebriti Paris Hilton.
Shafee mendakwa sebagai CFO 1MDB pada 2012 hingga 2017, Azmi sepatutnya bimbang dengan kebarangkalian dana 1MDB digunakan untuk parti-parti mewah itu, memandangkan dia menganggap ahli perniagaan itu sebagai wakil kepada Najib.
Azmi kemudian menjawab yang tanggungjawabnya pada masa itu adalah transaksi kewangan 1MDB, bukannya kehidupan peribadi Jho Low.
“Anda tanya tentang parti, kegiatan sosialnya, sama ada seseorang dalam kerajaan (selaku pemilik 1MDB menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan) membenarkannya, (tetapi) itu kehidupan peribadinya.
“Saya tak tahu tentang wang yang dia (Jho Low) ada,” kata Azmi.
Shafee - yang bertegas Najib tidak tahu tentang salah laku dalam 1MDB ketika menjadi menteri kewangan - kemudian berkata Azmi sepatutnya khuatir memandangkan perbelanjaan Jho Low “hampir tak masuk akal” dan sepatutnya mengundang perhatian semua orang dalam 1MDB.
Dia kemudian memainkan rakaman video yang memaparkan parti yang disertai Hilton.
Shafee: Saya katakan yang ini sepatutnya menjadi kebimbangan (pengurusan) 1MDB (termasuk Azmi) yang individu (Jho Low) yang mengendalikan 1MDB mempunyai gaya hidup seperti ini?
Azmi: Itu kehidupan peribadinya. Di sini kita ada ahli politik dengan kehidupan peribadi yang meragukan.
Shafee kemudian membalas yang Azmi sepatutnya mengambil berat tentang perkara itu memandangkan kedudukan kewangan 1MDB dalam keadaan dipersoalkan semasa itu.
“Itu kehidupan peribadinya. Kami (pengurusan 1MDB) ambil berat tentang syarikat, bukan kekayaannya (Jho Low),” kata Azmi, sambil menambah gaya hidup mewah itu tidak semestinya ada hubung kait dengan 1MDB.
Dia bagaimanapun mengakui jika diimbas kembali, gaya hidup mewah itu memang nampak meragukan.
Shafee kemudian membayangkan yang Azmi bersikap cuai jika dia tidak mengikuti laporan berita berkenaan gaya hidup Jho Low. Dia malah mendakwa saksi itu bersubahat dengan Jho Low untuk menyelewengkan dana 1MDB.
Shafee: Sebab kenapa anda, Shahrol dan Hazem (dua bekas CEO 1MDB) tidak pernah membangkitkan (perkara itu kepada lembaga pengarah 1MDB) kerana anda bimbang kerana anda juga terlibat terima rasuah daripada Jho Low.
Azmi: Saya tak setuju.
Shahrol dan Hazem sebelum ini memberi keterangan bagi pihak pendakwaan dalam perbicaraan ini.
Keadaan di mahkamah kian hangat apabila Shafee berhujah yang Azmi menandatangani transaksi AS$790 juta - yang didakwa palsu - daripada subsidiari 1MDB kepada Aabar Investments PJS Limited tanpa kelulusan lembaga pengarah syarikat.
Azmi bagaimanapun berkata lembaga pengarah tahu tentang transaksi itu dan tiada di kalangan mereka pada masa itu tahu yang Aabar Investments PJS Limited adalah syarikat palsu.
Terdahulu Aabar Investments PJS Limited yang berpangkalan di Kepualaun British Virgin adalah subsidiari palsu yang diwujudkan untuk menunjukkan kaitan dengan International Petroleum Investment Company (IPIC). Subsidiari sebenar IPIC adalah Aabar Investments PJS.
Dakwaan penyelewengan melibatkan dana yang berkaitan dengan usahasama antara 1MDB dan IPIC.
Shafee: Anda kelihatan combative (dalam jawapan ketika pemeriksaan balas).
Azmi: Cara anda bertanya soalan tidak adil untuk saya.
Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.